Dr. Siti Suriani Othman
Dr. Siti Suriani OthmanPensyarah Kanan Fakulti Kepiminan dan Pengurusan

Masa berdetik setiap saat dan diukur oleh jam. Itu sifat jelas masa mengikut Albert Einstein. Sesuatu yang sangat menarik tentang masa ialah ketidakupayaan kita untuk mengundurkan masa, mahupun memohon supaya masa hadapan dipercepatkan. Perkara yang lalu dipanggil sejarah, yang berlaku sekarang ialah masa kini dan masa hadapan adalah apa yang dipanggil sebagai kajian futulogi. Maksudnya, masa dianugerahkan kepada kita hanya “pada masanya”, namun yang penting sekali ialah bagaimana kita memastikan makna yang diberikan kepada masa yang diberikan ketika itu.

Dalam konteks ini, masa diberikan kepada manusia dalam bentuk berperingkat-peringkat. Inilah apa yang dimaksudkan ahli fizik John Wheeler yang berpendapat masa dianugerahkan sedemikian rupa untuk mengelakkan segala perkara berlaku pada masa yang sama.

Ini maknanya apa kepada kita semua? Maknanya dari segi kehidupan, masa memberi peluang untuk kita berfikir sebelum bertindak. Jika masa diberikan tanpa peringkat, kita tiada masa untuk berfikir sebelum bertinMisalnya, jika hendak membuat keputusan tentang sesuatu perkara, kita mempunyai masa untuk bukan hanya berfikir dan menstrategikannya, tetapi juga untuk mengaitkan keputusan itu dengan impak masa hadapan. Contoh mudah tetapi ekstrem ialah apabila seorang remaja mahu mencuba dadah, fikirlah impaknya pada masa hadapan kerana memang kitab oleh membuat kesilapan dan perbaiki diri pada masa hadapan, tetapi tidak semua jenis kesilapan itu boleh diperbaiki. Ada kesilapan yang jika dibuat pada hari ini, akan terus menggelapkan masa hadapan dan hakikat itu adalah satu sejarah yang tidak dapat diundur lagi.

Itu satu aspek penting tentang masa dan bagaimana kita perlu melihat nikmat masa yang sebenarnya memberi banyak peluang untuk kita berfikir dan bertindak matang. Konsep masa yang beperingkat sifatnya, memberi ruang kepada manusia untuk memastikan setiap peringkat itu bermakna bagi diri, keluarga dan masyarakatnya.

Satu lagi aspek masa yang penting ialah keperluan untuk mengisi “masa kini” dengan tindakan berfaedah. Ini Nampak sangat cliché tetapi hakikatnya begitu ramai yang menangisi sejarah kerana kegagalan mengisi “masa kini” dengan cemerlang. Kita sedar bahawa semua yang “hari ini” akan menjadi semalam. Maka dengan itu, setiap hari ini perlu memberi kemanisan dalam bentuk yang bermakna supaya “semalam” tidak menjadi sejarah duka, dan esok akan menjadi bermakna.

Lihat sahaja bagaimana mereka yang berusaha keras pada hari ini untuk mencapai apa yang diimpikan dan menabur bakti pula kepada masyarakat, perjalanan mereka memang tidak mudah tetapi mereka nampaknya memastikan masa kini digunakan sebaiknya untuk mencapai masa hadapan yang lebih baik, dan meninggalkan jejak sejarah yang terbaik untuk diri dan sekitarnya.

Maka tidak hairan jika Thomas Jefferson, persiden ketiga Amerika Syarikat pernah berkata, “Pastikan kita tidak duduk diam. Tiada orang yang akan merungut mereka perlukan masa lebih jika mereka tidak membazir masa. Hidup akan jadi menarik jika kita lihat apa yang boleh kita lakukan jika kita sering melakukan sesuatu”.

Dengan aktif menggunakan masa dengan optimum setiap hari, kita akan menghargai masa dan meraikan ketepatan masa. Sekali lagi peringatan cliché, tetapi inilah yang mencabar kita setiap hari-memastikan hari ini lebih baik dari semalam dengan menggunakan setiap masa yang ada sebaiknya-adalah lebih mudah disebut dari dilaksana.

Ketepatan masa mungkin sesuatu yang bukan luar biasa di negara-negara Barat. Kita dapat lihat dan ramai juga yang mungkin pernah mengalami acara di luar negara yang bermula tepat pada masanya. Begitu juga dengan pengalaman saya sendiri di negara jiran Singapura yang berpeluang mengikuti kuliah di Universiti Teknologi Nanyang. Kuliah bermula tepat pada masanya, berehat 10 minit juga tepat masa berhenti dan tepat juga masa bermula kuliah kembali.

Mungkin inilah cabaran yang perlu kita angkat pada hari ini. Di Malaysia, kita dapat lihat masih banyak acara dan kegiatan rasmi yang dijalankan belum lagi mengikut waktu setepat yang diuar-uarkan. Berkait ini, jika kita mahu menjadi sebuah negara maju yang benar-benar maju termasuk dari aspek mentaliti, perkara utama yang perlu kita ubah ialah pandang dunia kita tentang masa. Kita tidak mahu menjadi negara yang kononnya maju tetapi mundur pemikiran dan tidak dihormati seperti masyarakat Arab yang terkenal dengan kayanya, tetapi miskin ketepatan masanya. Bangunan gah pencakar langit hanya ukuran material kemajuan, tetapi berjaya mengubah budaya dan pemikiran sesebuah masyarakat itu jauh lebih bernilai dan pasti dihargai oleh generasi akan datang.

Maka tidak hairan, Misi 100 Hari Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memberi penekanan terhadap ketepatan masa. Hasratnya sekurang-kurangnya serampang dua mata. Pertama, memastikan ketepatan masa dalam kalangan mahasiswa USIM yang seterusnya diterjemahkan dalam masyarakat yang lebih luas, dan kedua, membudayakan ketepatan masa sebagai salah satu elemen penting yang menjaga maruah umat Islam di mata dunia.

Penulisan oleh USIM Writers Pool (UWP) ini bagi menyemarakkan Misi 100 Hari Naib Canselor, YBhg. Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin.