Dr. Ummi Salwa Binti Ahmad Bustamam
Dr. Ummi Salwa Binti Ahmad BustamamFakulti Ekonomi dan Muamalat

Kampung sering didefinisikan sebagai kawasan luar bandar yang rutin dengan aktiviti atau kerja kampung seperti bercucuk-tanam, menangkap ikan, mencari hasil hutan dan sebagainya. Namun begitu, dewasa ini, kampung juga telah mula maju setapak dengan kewujudan koperasi kampung yang diusahakan oleh penduduk kampung.

Koperasi bertujuan menerapkan nilai-nilai kesatuan kerja dalam kumpulan untuk bersaing dalam sistem ekonomi yang kompetitif. Ramai berpendapat bahawa peranan penubuhan koperasi adalah sebagai sebuah organisasi yang hanya fokus untuk menyalurkan dan menyumbangkan perkhidmatan semata-mata kepada anggota koperasi dan masyarakat melalui hasil jualan produk dan perkhidmatan sahaja. Namun begitu, koperasi juga berperanan menyumbang kebajikan kepada anggota koperasi tetapi juga kepada masyarakat dan seterusnya kepada pembangunan sosio-ekonomi negara.

Sekumpulan penyelidik dari kumpulan penyelidik Kampung Mizan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjalankan penyelidikan terhadap koperasi kampung di tiga buah kampung di Negeri Sembilan iaitu Kampung Jimah Baru, Kampung Pelegong dan Kampung Rawa. Koperasi ini merupakan tiga daripada 760 buah koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sembilan. Pemilihan kampung ini adalah berdasarkan lokasi kampung yang berada dalam lingkungan 30 km dari Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

Matlamat asal penyelidikan ini dijalankan adalah bagi melihat bagaimana operasi koperasi kampung ini dilaksanakan dari sudut keseimbangan (mizan). Mizan yang dimaksudkan adalah keseimbangan berdasarkan empat prinsip utama iaitu al-ubudiyyah (pengabdian diri kepada Allah), al-syura (perbincangan), al-hurriyah (kebebasan) dan al-musawah (kesamarataan). Konsep mizan wajar dipraktikkan dalam pengurusan koperasi bagi memastikan seluruh ahli koperasi mendapat manfaat sepenuhnya daripada kewujudan sesebuah koperasi.

Selain itu, penyelidikan ini juga bertujuan mengenalpasti potensi sumber-sumber sedia ada di kampung yang boleh dibangunkan bagi tujuan pembangunan sosio-ekonomi penduduk kampung. Bagi mencapai matlamat ini, beberapa siri kunjungan dan pemerhatian ke tiga buah kampung ini telah dijalankan oleh kumpulan penyelidik.

Secara amnya, hasil daripada sesi kumpulan fokus dan pemerhatian yang dijalankan menunjukkan bahawa ahli koperasi tidak memanifestasikan prinsip mizan secara sepenuhnya dalam pengurusan koperasi. Hal ini berikutan kurangnya kefahaman tentang konsep ini di samping tiada rujukan yang boleh digunakan.

Walaubagaimanapun, secara tidak langsung, melalui aktiviti penyelidikan yang dijalankan ini, mereka telah didedahkan dengan kepentingan menguruskan koperasi secara adil dan seimbang. Bagi mendapatkan input tentang sumber-sumber kampung yang boleh menjadi potensi untuk dibangunkan, bengkel model kanvas perniagaan sosial telah dianjurkan. Sebelum ini, aktiviti koperasi yang dijalankan terhad kepada sewaan homestay, penghasilan kraftangan secara kecil-kecilan dan penjualan makanan dan kuih tradisional.

Hasil daripada bengkel tersebut, penduduk kampung telah dapat mengenalpasti potensi sumber kampung yang boleh dibangunkan secara lebih meluas. Hal ini sebenarnya sejajar dengan hasrat penyelidikan ini kerana ingin memastikan pembangunan sosio-ekonomi kampung dijalankan secara seimbang menggunakan sumber sedia ada di kampung tanpa meminggirkan kemajuan yang boleh meranap ciri dan identiti sesebuah kampung. Golongan belia pula menjadi sasaran bagi melaksanakan aktiviti penjanaan ekonomi menggunakan sumber kampung supaya mereka tidak berhijrah ke bandar dan meminggirkan golongan tua di kampung-kampung.

Antara tiga buah kampung yang telah dilawati, Kampung Rawa dilihat memiliki potensi yang sangat cerah. Koperasi Homestay Rawa Lenggeng telah diwujudkan pada tahun 2014 bagi menarik ramai penyertaan penduduk kampung menyediakan perkhidmatan homestay secara lebih tersusun.

Menurut Pengerusi Koperasi, Puan Saadiah, aktiviti homestay yang dijalankan telah menarik minat ramai pihak termasuklah pelancong dari luar negara. Koperasi Homestay Rawa Lenggeng telah diiktiraf sebagai Coopstay oleh ANGKASA pada tahun 2016. Pelbagai aktiviti dijalankan oleh koperasi ini termasuklah kebudayaan, masakan, sukan berkuda dan rekreasi di Bukit Broga. Di samping itu, terdapat penanaman kayu gaharu di Kampung Rawa yang sangat berpotensi untuk dikomersilkan.

Sepanjang bengkel dijalankan, penduduk kampung yang hadir teruja dengan perbincangan yang dijalankan. Konsep coaching digunakan iaitu peserta disoal supaya dapat memberikan jawapan mengikut kefahaman dan keupayaan mereka sendiri. Penyelidik cuma memandu peserta supaya dapat memberikan jawapan dengan lebih mendalam.

Melalui penyelidikan sebegini, hasil penyelidikan dapat digunakan oleh pihak berkepentingan dalam membantu membangunkan potensi kampung-kampung terutama dari sudut ekonomi. Penubuhan koperasi kampung merupakan salah satu medium tepat dalam memastikan pembangunan kampung dijalankan dengan seimbang dan adil kerana setiap anggota berhak mendapat keuntungan hasil kejayaan koperasi.

Walaupun masih belum mencapai sepenuhnya hasrat untuk melihat setiap kampung memiliki koperasi masing-masing, pendedahan awal perlu diadakan sejak di bangku sekolah dan harus diteruskan sebagai salah satu aktiviti masyarakat agar konsep keusahawanan sosial melalui koperasi dapat dilaksanakan. Kesedaran tentang manfaat berkoperasi perlu diperluaskan agar masyarakat Malaysia dapat memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup melalui aktiviti perniagaan berkumpulan.