Dr. Muzaffar Syah Mallow
Dr. Muzaffar Syah MallowFakulti Syariah dan Undang–Undang

Sudah sampai masanya 57 buah negara yang menjadi negara anggota Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC) mengambil langkah bagi mengukuhkan dan memperkasakan OIC yang mewakili kepentingan lebih 1.6 orang Islam seluruh dunia. Dengan pelbagai masalah yang menimpa umat Islam maka kini seperti konflik berpanjangan antara masyarakat Palestin dan Israel, penghapusan etnik Rohingya di Myanmar, ancaman peperangan dan masalah pelarian di Timur Tengah dan lain lain lagi menunjukkan kepada ramai pihak khususnya kepada umat Islam sendiri, OIC tidak berupaya dan kuat untuk menyelesaikan isu yang melibatkan kepentingan umat Islam.

Apa yang lebih menyedihkan lagi, pertubuhan OIC itu sendiri sering menjadi bahan gurauan sesetengah pihak sebagai “Oh I See” (Oh Saya Lihat) kerana hanya mampu mengadakan persidangan, duduk berbincang serta mengeluarkan kenyataan atau deklarasi. Secara realitinya, umat Islam dilihat masih tertindas oleh kuasa-kuasa barat serta pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan mereka sendiri.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya pertubuhan OIC memperkuatkan dan memperkasakan diri mereka supaya dapat menjadi sebuah pertubuhan yang betul-betul digeruni oleh semua pihak serta yang paling penting dapat melindungi hak, kepentingan dan keselamatan umat Islam diseluruh dunia. Semua ini boleh dilakukan dengan mudah sekiranya pertubuhan OIC yang dianggotai oleh negara–negara Islam seluruh dunia bersatu serta berkerjasama untuk membantu umat Islam yang memerlukan bantuan.

Bagi menjayakan segala usaha murni ini, pertubuhan OIC yang telah ditubuhkan pada tahun 1969 yang lalu perlu aktif memainkan peranan mereka. Pertubuhan OIC tidak boleh lagi dilihat sebagai sebuah pertubuhan yang hanya suka duduk berbincang serta mengeluarkan kenyataan atau deklarasi terhadap sesuatu isu berbangkit. Pertubuhan OIC itu sendiri perlu diperkuatkan dan diperkasakan supaya setiap kenyataan yang dikeluarkan olehnya dilaksanakan dan digerakkan bagi membantu umat Islam yang memerlukan bantuan.

Pertubuhan OIC perlu melihat kembali peranan yang sepatutnya mereka jalankan iaitu untuk melindungi umat Islam serta mempertahankan maruah dan kesucian agama Islam itu sendiri. Bagi menjayakan peranan ini, stuktur pentadbiran dan agensi–agensi pelaksana yang ada di bawah pertubuhan OIC perlu dinilai semula bagi memberi ruang kepada OIC untuk bergerak dengan lebih aktif lagi sejajar dengan perkembangan semasa dunia masa kini. Antara langkah yang boleh diambil oleh OIC ialah dengan menubuhkan angkatan tenteranya sendiri, mewujudkan majlis keselamatannya sendiri, mewujudkan pelbagai jenis agensi–agensi yang boleh memberi fokus terhadap isu–isu yang berkaitan dengan kebajikan dan kesejahteraan umat Islam, dan lain–lain lagi.

Sudah sampai masanya juga pertubuhan OIC pertimbang untuk menukar nama pertubuhan mereka supaya tidak terus di sinonimkan oleh sesetengah pihak sebagai bahan gurauan tajam serta menguris hati dan perasaan umat Islam dengan ayat “Oh I See” (Oh Saya Lihat). Namun apa yang penting ialah semangat kesatuan yang padu dan jitu dikalangan negara-negara Islam serta umatnya sendiri. Kesemua 57 buah negara – negara Islam serta 1.6 billion umat Islam dari serata dunia perlu mengetepikan segala perbalahan dan perbezaan politik serta pendapat yang mereka ada. Tanpa adanya semangat bersatu-padu segala perkara yang ingin dilakukan sudah pasti akan menuju kegagalan.