Dr. Nuruliza Roslan
Dr. Nuruliza RoslanPensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Prof. Madya Dr. Mohd Radzniwan A Rashid
Prof. Madya Dr. Mohd Radzniwan A RashidPensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Pemakaian pelitup muka memang antara langkah terbaik bagi mencegah penularan wabak covid-19 disamping penjarakan sosial dan sanitasi tangan. Serata dunia telah mengamalkannya dan banyak kajian menunjukkan keberkesanan langkah terebut. Tetapi kes saban hari semakin meningkat. Di negara kita contonya, kita sedang berusaha untuk memastikan gelombang ke tiga boleh didatarkan lengkungannya. Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengakui situasi sekarang amat sukar dengan penularan kes yang lebih teruk berbanding semasa gelombang pertama dan kedua sebelum ini.

Namun ada pihak merasakan pemakaian pelitup muka boleh memudaratkan kesihatan. Sebaran maklumat bahawa pemakaian pelitup muka adalah penyebab kepada pneumonia oleh calon kongress di Florida Amerika pada Jun lepas mengusarkan ramai orang kerana ia telah tular secara beleluasa. Tulisan sebuah artikel oleh John C.A Manley pula baru-baru ini bertajuk “Medical Doctor Warns that “Bacterial Pneumonias Are on the Rise” from Mask Wearing” juga menimbulkan rasa bimbang apabila Dr James Meehan melaporkan beliau mendapati kes ruam dimuka akibat jangkitan bakteria dan fungus disamping kes pneumonia telah meningkat . Namun Dr Rossana Rosa di dalam penulisannya berpendapat pemakaian pelitup mengakibatkan pneumonia adalah mitos. Katanya penyebab pneumonia sebahagian besar disebabkan apabila manusia menghirup udara yang tercemar dengan virus, bakteria mahupun fungus. Kuman tersebut seterusnya masuk ke dalam tisu paru-paru yang mengakibatkan pneumonia. Oleh itu semasa kita sihat, apabila kita memakai pelitup muka, udara “sihat” yang kita sedut kembali setelah kita hembus tidak memungkinkan terjadinya pneumonia. Kenyataan itu juga disokong oleh Dr Anne Monroe yang merupakan pakar epidemiologi di George Washington University’s Milken Institute School of Public Health. Dr Davidson Hamer yang merupakan seorang pakar penyakit berjangkit di Boston University juga berpendapat yang sama. Pemakaian pelitup muka tidak mengakibatkan pneumonia seperti ditular luas di media sosial ketika ini. Walaubagaimanapun, sekiranya pelitup muka itu tercemar barulah perkara tersebut secara teorinya boleh menyebabkan risiko jangkitan kuman di paru-paru.

Memang banyak kajian meyangkal kenyataan tersebut. Kajian yang dilakukan oleh Dr Chiu NC contohnya telah membuktikan di dalam artikel yang telah diterbitkan oleh Journal Of Medical Internet Research pada Ogos 2020 bahawa pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan kebersihan tangan berkesan menurunkan kadar jangkitan paru-paru. Ada banyak lagi momokkan terhadap pemakaian pelitup muka yang dikhabar boleh menjejaskan kesihatan seperti rosak tisu paru paru dan keadaan dipanggil “hypercapnia” dimana situasi tersebut menyebabkan pemakainya mempunyai kadar karbon dioksida yang tinggi di dalam darah akibat penyedutan balik udara yang dihembus.
Perbincangan di atas menguatkan lagi hujah supaya pemakaian pelitup muka wajib dipraktiskan dengan cara yang betul. Nasihat yang sering kita dengar supaya pelitup muka tidak dipakai berulang-kali, membuangkannya dengan cara yang khusus bukanlah bebelan orang tua kepada anaknya. Kesemua itu ada hikmah disebalik nasihat walaupun tatacaranya sangat rumit. Berikut adalah antara etika Pemakaian dan Penjagaan Pelitup Muka yang harus diikuti:

Untuk Pelitup Muka pakai buang surgikal:
1. Pemakaian maximum 8 jam sehari; jangan guna semula.
2. Buang/ganti dengan yang baru sekiranya basah, koyak, atau kotor.
3. Jangan sesekali menyentuh permukaan luar pelitup muka sewaktu memakai.
4. Jangan kongsi pelitup muka terpakai.
5. Putuskan tali pelitup muka ketika buang.

Untuk Pelitup Muka Fabrik
1. Cuci sekali sehari mengikut garispanduan yang telah ditetapkan.
2. Jangan kongsi pelitup muka.
3. Jangan sesekali menyentuh permukaan luar pelitup muka sewaktu memakai.

Sekiranya salah satu perkara diatas tidak dipatuhi, kesannya terhadap kesihatan adalah besar. Ini adalah kerana pelitup muka tersebut boleh tercemar dan akan memberi risiko jangkitan kepada si pemakainya dan orang sekeliling. Contohnya jika si pemakai bersin ketika memakai pelitup muka, kebaikannya adalah orang yang berdekatan terlindung kerana bersin itu terperangkap dalam pelitup muka si pemakai. Namun, bahayanya adalah sekiranya si pemakai menyambung untuk memakai pelitup muka ini lebih dari 8 jam, risiko untuk si pemakai mendapat jangkitan kuman adalah tinggi.

Cara lain yang tidak harus dipraktiskan adalah sekiranya si pemakai membuka pelitup muka (walaupun untuk seketika sahaja) dan meletaknya di atas permukaan yang berhabuk, kotor dan kemudian memakai nya semula, risiko tingkahlaku tersebut untuk mendapat jangkitan penyakit adalah tinggi. Apatah lagi sekiranya pelitup muka didapati basah dari luar atau dalam, tetapi si pemakai rasakan ianya tidak kelihatan kotor atau koyak atau baru sahaja pakai tak sampai 8 jam, juga adalah amalan yang boleh menjejaskan kesihatan.

Memastikan pemakaian arah lapisan pelitup muka yang betul juga penting. Kita perlu sentiasa beringat bahawa arah lapisan pelitup muka yang mana sewaktu membuka dan memakainya semula. Ini adalah kerana sekiranya arahnya salah, bahagian luar akan terkena hidung dan mulut dan sekiranya pelitup muka itu tercemar, maka jangkitan akan terjadi di muka dan kuman boleh masuk ke paru-paru semasa kita menarik nafas. Amat penting untuk kita membasuh atau sanitasi tangan sebelum dan selepas memegang pelitup muka.

Memutuskan tali pelitup muka juga adalah penting dipraktiskan. Walaupun ia leceh, tindakan Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada ianya diambil oleh individu lain yang kemudiannya memakainya semula atau lebih teruk, menjualnya kembali. Mungkin juga ramai tidak tahu bahawa memutuskan tali pelitup muka juga dapat mengelakkan binatang seperti burung, ikan dan penyu terseksa atau boleh mati akibat terjerat dengan pelitup muka, disebabkan “hanyutan” pelitup muka yang dibuang ke sungai dan laut oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Terdapat bukti yang melaporkan bahawa kejadian ini telahpun berlaku. Kesan pembuangan pelitup muka pakai buang yang merata-rata atau tidak dibuang dengan betul sememangnya mengganggu ekositem dan memudaratkan alam sekitar.

Pandemik COVID-19 mengajar kita satu aspek yang sememangnya dititikberatkan dari dulu, kini dan selamanya; kebersihan. Kini, menjaga kebersihan dalam penjagaan pelitup muka adalah sangat penting kerana objektif utama pemakaian pelitup muka adalah bukan sahaja untuk melindungi diri kita sendiri dari risiko jangkitan luar tetapi juga melindungi orang lain sekeliling kita. Namun, untuk memastikan perlindungan 2 hala ini berkesan kita harus cakna dalam etika pemakaian pelitup muka. Disamping itu, kebersihan juga tidak hanya membabitkan kita sebagai manusia sahaja yang hidup di muka bumi ini, tetapi juga pentingnya untuk menjaga kebersihan persekitaran yang dihuni oleh pelbagai makhluk.

Pendek kata janganlah kita alpa. Kita masih belum menang. Perjuangan masih belum selesai. Frontliners petugas kesihatan masih mempertaruhkan nyawa mereke di medan juang COVID-19. Ayuh jalankan peranan kita sebagai rakyat Malaysia yang cakna mengenai kepentingan pemakaian dan penjagaan pelitup muka. Atas kesedaran ini, kempen #mohcaknafacemask #USIMjagasemua sedang giat dilaksanakan dan ia merupakan inisiatif daripada Universiti Sains Islam Malaysia dalam memastikan rakyat ambil peduli tentang pemakaian pelitup muka yang betul dan pembuangan yang selamat.