Profesor Madya Dr. Rosni bin Samah
Profesor Madya Dr. Rosni bin SamahFakulti Pengajian Bahasa Utama

Perkembangan Revolusi Industri 4.0 yang berteraskan penggunaan jentera dan teknologi seperti adaptasi permainan maya, hologram, realiti maya (VR), realiti berperantara (AR), pengguna visual, simulasi dan penerokaan internet boleh menyebabkan graduan ketinggalan dalam pasaran kerjaya. Langkah-langkah yang berani dan tegas telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bagi mempersiapkan graduan negara dalam memenuhi tuntutan Revolusi Perindustrian 4.0 ini. Antaranya mereka membentuk semula pendidikan tinggi dan merombak kurikulum seiring Revolusi Industri 4.0 dengan menggunakan kaedah pembelajaran baharu yang bertitik tolak daripada individu kepada pedagogi pembelajaran berteraskan komuniti masyarakat.

Begitu juga memperkenalkan beberapa inisiatif baharu seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau singkatannya, PPM (PT) 2015-2025. Antaranya memperkenalkan Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) yang menilai pelajar tidak hanya dari segi prestasi akademik semata-mata, tetapi juga melalui penyertaan mereka dalam aktiviti kokurikulum, sosial dan sukarela. Turut diperkenalkan inisiatif 2 years University-2 years Industry (2u2i), program Massive Open Online Courses (MOOC), program CEO@Faculty dan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Kesemuanya ini bertujuan menangani cabaran dan keperluan kritikal Industri 4.0 yang membolehkan pelajar universiti menyesuaikan diri dan berusaha menghadapinya. Dalam situasi seperti ini pelajar universiti hendaklah berfikiran terbuka, semangat juang serta berdikari yang mampu bergerak ke hadapan dan berkembang maju dengan memiliki kemahiran insaniah, terutamanya dalam komunikasi, berfikiran kreatif dan inovasi untuk maju ke depan. Pelajar universiti tidak boleh mengikut arus semasa yang membataskan pergerakan dan pemikiran mereka. Dalam masa yang sama, mereka hendaklah berfikir di luar kotak sesuai dengan budaya yang ada pada hari ini. Sikap berharap kepada pensyarah, kawan-kawan dan mengikuti program yang disediakan perlu dikikis. Mereka tidak lagi boleh mengharapkan ihsan orang di sekeliling untuk merancang kehidupan mereka. Sebaliknya mereka hendaklah membina kreativiti dan inovasi dalam menjalani hari-hari perkuliahan supaya dapat membentuk masa hadapan dengan lebih baik.

Pelaksanaan iCGPA tidak akan berjaya sekiranya mereka sendiri tidak mengubah paradigma berfikir. Mereka perlu ke hadapan dalam merancang pembelajaran yang boleh meletakkan mereka seiring dengan perkembangan industri 4.0. Justeru itu, pengalaman semasa berada di universiti membolehkan mereka mencipta peluang pekerjaan selepas graduan nanti. Mereka hendaklah menjadi majikan dan membuka peluang pekerjaan bukanlah menjadi mangsa pemohon pekerjaan.