Nor Adlyizan bin Theis
Nor Adlyizan bin Theis Timbalan Pengarah Kolej GENIUS Insan, USIM

Detik “Jom Kembali Ke Sekolah” semakin kian dirasa. Pastinya anak-anak begitu teruja seperti tahun-tahun sebelumnya untuk kembali ke sekolah dengan menggayakan baju dan beg baharu. Namun begitu sesi persekolahan yang bakal bermula tanggal 20 Januari 2021 nanti pastinya tidak sama dengan tahun sebelumnya. Dalam kemeriahan jualan murah uniform dan perkakasan sekolah ibu bapa perlu sentiasa memastikan SOP ketika membeli belah tetap dijaga memandangkan keadaan COVID-19 yang masih lagi belum reda ini.

Kita akan terus berdoa supaya virus ini akan meninggalkan bumi Allah ini secepat mungkin, namun jika masih berlarutan, persekolahan dalam norma baharu perlu dijalankan. Murid-murid akan terus mengikuti SOP yang telah digariskan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Mencegah lebih baik dari merawat, sesi persekolahan nanti ibu bapa perlu menambah di dalam senarai keperluan anak-anak mereka, penutup separuh muka dan juga cecair pembasmi kuman bagi memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak terus terjaga.

Selain itu, ibu bapa juga perlu memastikan emosi anak-anak sentiasa dalam keadaan bersemangat dan bersedia dalam menjalani sesi persekolahan dalam norma baharu, terutama bagi ibu bapa yang anak mereka baharu sahaja masuk ke tahun 1 persekolahan. Pastinya perkara ini akan menjadi lebih mencabar jika ibu bapa tidak bersedia dengan ransangan emosi yang kuat. Ibu bapa perlu meletakkan keyakinan kepada pihak sekolah apabila menghantar anak mereka ke sekolah nanti.

Melihat dari lensa perbincangan isu yang sama, memandangkan sesi persekolahan akan bermula secara berperingkat, ibu bapa perlu memastikan kelengkapan pembelajaran secara atas talian untuk anak-anak mereka yang berada di tingkatan 2 dan 3 mencukupi. Hal ini demikian kerana, murid tingkatan 2 dan 3 akan mula ke sekolah secara fizikal pada 8 mac 2021, dan sesi sebelum itu akan berjalan secara atas talian. Jika kelengkapan dan prasarana pembelajaran tidak mencukupi dan baik, berkemungkinan besar murid-murid ini akan ketinggalan dalam pelajaran mereka.

Ibu bapa juga dinasihatkan untuk tidak mudah melatah dengan sebarang peraturan baharu yang akan diberikan oleh pihak sekolah. Hal ini bagi memastikan kerjasama yang erat di antara ibu bapa dan pihak sekolah berjalan dengan baik. Ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni, begitulah hendaknya kebersamaan yang perlu ditonjolkan oleh kedua-dua pihak. Sebagai contoh, peraturan asrama yang melarang perjumpaa secara bersemuka dengan anak-anak, dan keperluan menyediakan bekal untuk anak-anak ke sekolah. Peraturan-peraturan ini adalah bertujuan untuk memastikan SOP dijaga dan keselamatan anak-anak mereka terus terpelihara dengan baik.

Dalam keadaan kita belum menang ini, semua pihak seharusnya mengambil langkah berjaga-jaga. Ibu bapa dan pihak sekolah perlulah saling menyokong antara satu sama lain bagi mengelakkan penularan wabak ini dari terus menghantui dunia pendidikan. Ibu bapa dan pihak sekolah merupakan pejuang barisan hadapan dalam memastikan keluk jangkitan COVID-19 menjadi landai dan lenyap dari muka bumi ini.

Dalam membidik sarang penyengat,

Sama pastikan api dinyala,

Dalam mendidik SOP diingat,

Putuskan rantaian, kita jaga kita.

Sumber: gambar dari Kosmo