Dr. Nurkhamimi Zainuddin
Dr. Nurkhamimi ZainuddinTimbalan Pengarah, GOAL ITQAN

Ramadhan Al Mubarak telah membuka tirainya beberapa hari yang lalu. Seluruh umat Islam di seantero pelusuk dunia difardhukan berpuasa dengan menahan diri dari makan dan minum di siang hari serta tidak melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan ibadah puasa. Firman Allah S.W.T dalam surah al-baqarah ayat 183;

“Wahai orang yang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu,supaya kamu bertakwa”.

Di dalam buku “Risalah Ramadhan”, penulis terkenal KH. Ali Maksum menulis bahawa umat-umat terdahulu juga berpuasa, namun cuma caranya sahaja yang berbeza. Orang Yahudi berpuasa mulai dari tengah malam hinggalah ke siang hari. Orang Nasrani pula berpuasa dengan menahan diri dari memakan hidangan makanan yang enak seperti ikan, telur dan daging. Mengikut tradisi di negara- negara Arab, apabila tibanya Ramadhan, masyarakat setempat akan mula mengucapkan ucapan tahniah dengan ungkapan khas seperti “Ramadhan Kareem”, “Ramadhan Sa’eed”, dan “Ramadhan Mubarak”. Ucapan sebegini saling diucapkan untuk mendoakan sesama muslimin agar diberikan kerahmatan dan keampunan. sambil diberikan kekuatan menambah amal ibadah serta sedekah jariah kepada mereka yang memerlukan.

PERSEDIAAN
Terdetik di hati penulis, alangkah baiknya jika setiap muslim berazam untuk memasuki “Madrasah Ramadhan” ini dengan jiwa yang tulus dan bersih, serta istiqamah dengan amalan yang telah diusahakan semasa berada di dalam madrasah ini. Jika setiap individu dapat memahami dan menghayati ganjaran yang dijanjikan Allah S.W.T bagi yang mengerjakan amal soleh, pastinya semua daripada kita akan berebut-rebut untuk melakukan amal ma’ruf dan meninggalkan kemungkaran selaras dengan sabda Rasulullah SAW;

“Sekiranya manusia mengerti kebaikan-kebaikan yang ada di Bulan Ramadhan, pasti umatku selalu berangan-angan agar sepanjang tahun menjadi Ramadhan”. (HR At Thabrani).

Bagi orang beriman, datangnya Ramadhan pasti disambut dengan gembira, sedangkan bagi mereka selalu melibatkan diri dengan perkara yang batil, Ramadhan akan dinanti dengan perasaan yang gelisah dan gundah gulana. Hal ini menjadi petanda bahawa hati mereka kurang bersih. Sehubungan dengan itu, kita yang mengaku sebagai muslim dan mukmin seharusnya mempersiapkan diri kita dengan persediaan yang secukupnya. Persediaan yang sentiasa dituntut oleh Islam kepada umatnya, ketika menjelang tibanya Ramadhan dapat dipecahkan kepada dua bahagian iaitu:

1) Persediaan Rohani (Internal)
2) Persediaan Jasmani (External)

PERSEDIAAN ROHANI
Doa adalah senjata orang mukmin yang mustajab. Sebagai persediaan untuk pemantapan rohani menjelang Ramadhan, orang mukmin digalakkan untuk berdoa agar Allah S.W.T menguatkan hati-hati mereka untuk beribadah serta mengatasi segala dugaan yang akan datang menimpa hambanya. Di samping itu mereka juga boleh dianjurkan memohon supaya diterima semua amalan yang dikerjakan sepanjang Ramadhan. Sebagai nota tambahan, doa itu sendiri mempunyai signifikasinya yang tersendiri sebagai baja kepada benih ketakwaan Ramadhan yang akan mula bercambah dalam hati dan jiwa kita.

Dalam konteks yang lain, kita juga perlu menyediakan diri kita dengan keazaman dan iltizam yang tinggi untuk menambah kesungguhan dalam melakukan ibadah. Cuba kita ambil contoh yang mudah. Jika kita biasa membaca hanya satu halaman dari Al-Quran setiap hari pada bulan-bulan biasa, maka eloklah ditambah jumlah dan kuantiti bacaan kita saat kita berada di bulan Ramadhan. Selain itu, diharapkan juga agar amalan kita disertai dengan sifat istiqamah iaitu berterusan sehinggalah kita “keluar” dari madrasah Ramadhan. Sifat istiqamah atau “steadfast” ini juga menjadi portfolio utama ajaran yang ditekankan Rasulullah S.A.W melalui madrasah Ramadhan. Kita juga diajar oleh Rasulullah S.A.W supaya sentiasa memperbaiki hari-hari yang mendatang dalam kehidupan seharian. Ungkapan seperti “Jadikan hari ini lebih baik dari semalam” cukup sesuai menggambarkan betapa pentingnya kita mempertingkatkan amal kebajikan yang kita lakukan seharian”.

PERSEDIAAN JASMANI
Bulan Ramadhan bukan hanya menitikberatkan persediaan dari segi rohani sahaja malah juga persediaan jasmani yang menjadi titik tolak kepada permulaan kepada pencapaian seseorang mukmin untuk memasuki bulan penuh ujian ini. Orang mukmin bukan sahaja perlu menahan diri dari makan dan minum pada waktu siang, malah kita juga dituntut untuk menjaga lisan (lidah) agar tidak mengucapkan perkataan yang kotor dan berunsur makian terhadap orang di sekeliling kita. Di samping itu, pelbagai usaha jasmani boleh diusahakan seperti mempelajari hukum-hukum dan perkara-perkara yang bersangkutan dengan ibadat puasa, agar ibadat puasa itu dapat dijalankan dengan betul dan diterima oleh Allah. Kita juga digalakkan untuk menambah ilmu pengetahuan dengan membaca bahan-bahan bacaan mengenai ibadat puasa atau menghadiri majlis ilmu dan tazkirah disurau atau masjid.

JUJUR IKHLAS
Melalui madrasah Ramadhan juga, Islam dapat mempromosikan dua sifat yang terpuji yang perlu ada dalam setiap orang yang beriman iaitu sifat jujur dan ikhlas. Kejujuran dan keikhlasan hambaNya dapat ditaksirkan semasa menjalani ibadah puasa yang diwajibkan. Allah memberi peluang kepada kita untuk membuktikan kejujuran semasa berpuasa di siang hari walaupun kita berada di tempat yang sunyi dan hening. Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya kebenaran (kejujuran) akan membawa kepada kebaikan, dan kebaikan akan membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa jujur akan tercatat di sisi Allah sebagai orang yang jujur”. (HR Bukhari).

Ini bermakna jika kita dapat berlaku jujur dengan Allah dan manusia semasa “berkunjung” ke bulan Ramadhan, maka pastilah kita juga dapat mempraktikkan sifat terpuji ini semasa berada di bulan-bulan yang seterusnya.

Ikhlas pula adalah sifat teras yang dapat membezakan sama ada perbuatan yang kita lakukan itu hanya kerana Allah ataupun sekadar hanya mahu menunjuk-nunjuk sesama manusia. Islam melarang keras sifat riya’ dan ‘ujub terhadap amal kebajikan yang dilakukan di dalam kehidupan seharian kita. Sudah menjadi kemestian untuk kita mentauhidkan niat pada setiap ibadah yang dilakukan iaitu hanya kerana Allah S.W.T dan bukan untuk mengharapkan pangkat, pujian dan sanjungan daripada manusia.