Dr Ummi Salwa Ahmad Bustamam
Dr Ummi Salwa Ahmad BustamamPengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa

Industri bantu laksana aktiviti

Salah satu faktor yang menyumbang kepada jumlah pengangguran adalah disebabkan kurangnya kemahiran industri di kalangan graduan. Justeru, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia sangat menggalakkan penglibatan aktif daripada industri melalui sinergi dan usaha sama dengan institusi pengajian tinggi dalam menyediakan kemahiran dan latihan kepada para pelajar. Walaubagaimanapun, kurang daripada 10% industri yang terlibat dalam penggubalan kurikulum dengan pihak universiti.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan industri telah terlibat secara aktif terutamanya bagi melahirkan graduan yang berdaya usahawan.

Terdapat beberapa aktiviti yang dilaksanakan dengan kerjasama industri. Sebagai contoh, Hands-On Programme of Entrepreneurship (HOPE) adalah sinergi USIM bersama tujuh buah rakan industri sekaligus menjadi mentor industri HOPE yang diterajui oleh Syarikat Perfect Triangle. HOPE adalah sebuah program keusahawanan berstruktur yang unik, holistik dan komprehensif yang direka dan dibangunkan bagi menyelesaikan masalah kekurangan kebolehpasaran pelajar bagi menempatkan diri di industri. HOPE dirangka, dibangunkan dan dilaksanakan oleh usahawan-usahawan yang memiliki pengalaman industri melebihi 10 tahun di mana sesi pengisian teori dan praktikal HOPE disampaikan secara bersama oleh para usahawan, pemimpin-pemimpin industri, pakar-pakar akademik dan pakar latihan sumber manusia.

USIM telah mula menawarkan program ini kepada pelajar tahun 1 sesi kemasukan 2015/2016 dan mendapat penyertaan yang sangat tinggi. Sehingga kini, bilangan pelajar berjumlah 468 orang. USIM telah menawarkan HOPE sebagai kokurikulum berkredit iaitu sebanyak 6 jam kredit. Pencapaian dan prestasi setiap pelajar HOPE diukur menggunakan Sistem Penilaian Prestasi berasaskan industri, menerusi 12 kriteria di dalam Key Result Area (KRA) dan 8 kriteria di dalam Behaviourial Competencies (BC). HOPE menekankan komponen praktikal sebanyak 80% dan komponen teori sebanyak 20% di dalam sistem penilaiannya.

Pelaksanaan HOPE di USIM bertujuan mencapai beberapa objektif. Pertama, program HOPE adalah untuk membina pelajar menjadi usahawan kerana keusahawanan adalah salah satu perkara yang ditekankan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025. Seterusnya, HOPE dilaksanakan bagi melahirkan graduan yang berpengalaman dalam bidang keusahawanan sekaligus dan ketiga bagi menghapuskan label ‘graduan’ selepas tamat pengajian mereka melalui pengalaman yang diperolehi semasa tempoh program berlangsung. Keempat, program ini bermatlamat untuk meningkatkan dan memaksimumkan modal insan terutama mengenai daya maju, daya saing dan daya rintangan bagi setiap pelajar selepas mereka menamatkan pengajian. Akhirnya, program ini diharapkan dapat mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan terutamanya graduan USIM.

Manfaat HOPE

Dalam aspek lain, HOPE memberi banyak manfaat kepada para pelajar. Pertama, program ini adalah sangat interaktif dan menggunakan persekitaran pembelajaran secara realiti di mana pelajar bukan sahaja akan melaksanakan dan mempraktikkan kemahiran perniagaan secara ‘hands-on’ tetapi mereka juga boleh berbincang bersama mentor untuk menyelesaikan isu-isu atau membina strategi-strategi perniagaan. Kedua, pelajar akan mendapat pengalaman dalam mengendali dan menguruskan perniagaan mereka sendiri bermula dari peringkat dokumentasi sehingga ke pengurusan kewangan.

Aspek yang paling penting kepada pelajar adalah mereka akan belajar membuat keputusan terhadap perniagaan mereka walaupun masih dalam pengajian. Mereka juga akan mendapat pengalaman memiliki perniagaan yang sebenar di mana perniagaan pelajar akan ditubuhkan melalui kaedah yang betul di samping bimbingan dan nasihat mengenai pengurusan perniagaan.

Seterusnya, pelajar akan dapat menjana pendapatan sendiri melalui keuntungan perniagaan mereka. Terdapat pelajar yang sangat berpotensi dalam jualan sehingga mencapai hasil jualan sebanyak RM 2,000.00 sebulan. Panduan perniagaan yang berterusan dan nasihat daripada mentor industri akan diteruskan walaupun selepas tamat program atau pengajian pelajar di universiti.

Tambahan lagi, para pelajar yang menyertai program ini akan dapat mengembangkan lagi perniagaan pilihan mereka melalui sokongan dan bantuan daripada agensi-agensi yang berkaitan keusahawanan di Malaysia. Di akhir program pihak industri akan mengiktiraf penyertaan pelajar dalam program ini berdasarkan prestasi dan pencapaian yang ditunjukkan pada setiap semester. Para pelajar akan diberikan sijil daripada pihak industri yang sangat berguna dan bermanfaat untuk pelajar yang memilih untuk memohon pekerjaan selepas tamat pengajian.

HOPE merupakan salah satu platform bagi USIM untuk menghasilkan graduan yang berpengalaman bukan sahaja menjana pendapatan daripada perniagaan mereka malahan kurang bergantung kepada pasaran perkerjaan. Hal ini sekaligus akan dapat menurunkan kadar pengangguran di Malaysia.

Walaupun mereka memilih untuk berkerja selepas tamat belajar, tetapi mereka tidak dilabel sebagai graduan yang tidak berpengalaman berikutan dengan pengalaman berniaga yang mereka perolehi di sepanjang enam semester mengikuti program HOPE. Pendedahan keusahawanan kepada pensyarah dan juga staf pentadbiran melalui penglibatan mereka dalam program ini akan menghasilkan lebih banyak lagi sinergi antara universiti dan industri pada masa hadapan.

Menyedari visi kerajaan dan universiti untuk meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing seseorang graduan, kerjasama industri dan pengajian tinggi adalah sangat penting.  Ini juga akan memenuhi keperluan industri untuk pengambilan pekerja pada masa hadapan. Akhirnya, adalah menjadi harapan bahawa sinergi universiti-industri akan bermanfaat kepada para pelajar dalam memupuk sifat-sifat keusahawanan dan sejajar dengan itu dapat mengurangkan jumlah pengangguran di kalangan graduan, khususnya graduan USIM.

Kadar Pengangguran

Kadar peningkatan jumlah pengangguran adalah salah satu isu yang mencetuskan kebimbangan sejak kebelakangan ini. Menurut laporan tahunan terkini daripada Bank Negara, daripada jumlah 405,000 orang yang tiada pekerjaan, 15.3% adalah mereka yang mempunyai pendidikan tahap ketiga. Dalam erti kata lain, mereka adalah daripada kalangan yang pernah mengikuti pengajian ke peringkat kolej atau universiti.

Laporan tersebut yang memetik kajian daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia menyatakan bahawa 53% daripada jumlah 273,373 graduan pada tahun 2015 tidak mempunyai pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduan. Angka ini semakin bertambah seiring dengan peningkatan jumlah graduan yang dihasilkan saban tahun.