Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad
Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Hari Raya Aidilfitri adalah hari kemenangan kepada semua umat Islam selepas sebulan menunaikan ibadat puasa pada bulan Ramadan. Allah SWT menganugerahkan kepada umat Islam satu hari yang cukup istimewa yang disambut dengan penuh kegembiraan.

Kegembiraan itu itu dibenarkan kerana telah berjaya menunaikan tanggungjawab agama yang merupakan salah satu daripada lima rukun Islam. Kepada mereka yang berjaya melakukan ibadat puasa dengan mematuhi syarat, rukun dan menjaga diri daripada melakukan perkara membatalkannya telah mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Sebagaimana hadis Qudsi riwayat Bukhari dan Muslim: “Semua amalan anak Adam adalah baginya kecuali berpuasa, ia hanya untuk Aku dan Aku menganugerahkan kepadanya dengan sebab puasanya itu.”

Momentum
Falsafah puasa pada bulan Ramadan adalah untuk mendidik umat Islam erti kasih sayang dengan yang kaya menghulurkan bantuan kepada yang miskin, tolong-menolong menjayakan iftar, mengerjakan solat tarawih dan pelbagai ibadat lain.

Natijahnya puasa ialah taqwa. Takwa merupakan kunci penerimaan amalan dan ia subur serta boleh diperoleh dengan mudah pada Ramadan.
Selama sebulan umat Islam berdisiplin dnegan waktu bersahur dan waktu berbuka. Amalan teratur dan berdisiplin ketika Ramadan semestinya dibawa bersama pada 11 bulan berikutnya.

Jangan sesekali membiarkan momentum Ramadan itu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang usaha menggandakan ibadah pada bulan lain. Hari Raya Aidilfitri merujuk kepada fitrah iaitu kembali kepada agama. Ia juga mengingatkan kita kepada kesempurnaan agama Islam. Tanggal 1 Syawal adalah hari kegembiraan yang disambut tanpa melakukan perkara yang dilarang oleh Allah.

Amalan pada hari raya yang biasa dilakukan ialah bermaaf-maaf dalam kalangan keluarga dan sahabat handai serta ziarah menziarahi untuk rapatkan hubungan dan silaturahim.

Di samping itu, jangan lupa dengan bertakbir, tahmid, berselawat kepada nabi kita, Muhammad SAW. Umat Islam juga disaran supaya mengamalkan sunnah Rasulullah ketika menyambut hari raya.

Sebelum menunaikan solat Aidilfitri, Rasulullah mengambil sedikit makanan. Seperti hadis Anas yang menyatakan Rasulullah tidak keluar pada hari raya ke tempat solat melainkan Baginda makan beberapa tamar dengan kiraan ganjil.

Dalam memilih pakaian pada hari raya, Baginda memakai pakaian yang dinamakan burdah yang berwarna merah.

Gembira
Pada malam dan pagi 1 Syawal disunatkan untuk bertakbir, mengesakan Allah dan membesarkan-Nya. Ibu Umar r.a berkata, “Apabila Rasulullah berjalan ke tempat solat hari raya, Baginda berjalan ke tempat solat hari raya, Baginda bertakbir dengan suara yang tinggi.”

Dalam riwayat yang lain, “Baginda keluar untuk solat hari raya ketika matahari naik, Baginda bertakbir sehingga sampai ke musolla dan apabila imam duduk ia tidak lagi takbir.”

Terakhirnya, Rasulullah pergi ke tempat musola melalui jalan yang berbeza dengan jalan pulang ke rumah.

Kesimpulannya, sambutlah raya kali ini dengan penuh kegembiraan, lebih bermakna dan lakukan perkara yang menambah ketaatan kepada Allah. Jangan sekali-kali lakukan perkara yang dilarang oleh Allah, semoga latihan ibadat ketika Ramadan dijelmakan dalam menyambut 1 Syawal.

Artikel ini telah diterbitkan oleh akhbar Kosmo pada 13 Jun 2018.