Mej. Rozaimi Kamarudin
Mej. Rozaimi Kamarudin Ketua Bahagian Operasi Jabatan Keselamatan

Peningkatan kes buli melibatkan golongan pelajar sekolah dan Institut Pengajian Tinggi semakin membimbangkan. Pengulangan kejadian buli seperti yang berlaku di sebuah sekolah berprestasi tinggi melibatkan pelajar tingkatan satu, memerlukan tindakan komprehensif dan perlu ditangani dengan berhikmah. Kejadian buli melibatkan fizikal boleh dikaitkan dengan kes jenayah dan sivil jika berlakunya kecederaan dan kematian. Namun, kesan kepada psikologi iaitu tekanan yang diberikan sehingga melibatkan kemurungan dan tekanan emosi adalah lebih besar dan perlu dihadapi oleh mangsa seumur hidup.

Penulis melihat bahawa wujud sikap angkuh dan bangga diri sehingga merasakan dirinya sebagai “abang kawasan atau hero” punca perilaku buli. Situasi menjadi lebih teruk jika pelaku mempunyai geng atau kumpulan tertentu sehingga boleh membawa pengaruh dan memberi ancaman kepada pelajar lain. Apabila sikap ini mempengaruhi segolongan kumpulan pelajar seolah telah memberi kekuatan untuk menguasai sehingga boleh melunturkan sikap kemanusian dan nilai simpati. Kurangnya nilai insani iaitu sifat kemanusiaan menjadi sebab buli dan boleh ditangani dengan beberapa kaedah seperti penerapan nilai peribadi berpandukan hati “Qalbu”. Kaedah ini akan mendidik jiwa pelajar untuk kekal berhubungan Maha Pencipta dan saling mengasihani sesama manusia. Elemen penting seperti kawalan diri, amanah, kecekalan, muafakat, dan adil bagi melahirkan insan yang mempunyai nilai-nilai murni dan ciri-ciri yang digariskan agama berupaya membentuk peribadi pelajar yang lebih berhati mulia.

Selain pengisian jiwa, kejadian buli boleh ditangani dengan pemasangan kamera litar tertutup. Seiring dengan perkembangan teknologi, pembuktian melalui hasil rekod oleh kamera litar tertutup telah diterima sebagai bahan pembuktian kes di mahkamah sivil dan syariah di Malaysia. Melihat kepada situasi kini, semua sekolah perlu mengorak langkah untuk mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup di beberapa kawasan berisiko tinggi kerana kawalan boleh diadakan secara maksimum merangkumi kawalan keselamatan, pemantauan disiplin dan mengawal keluar masuk pelajar.

Penyaksian turut menjadi beban pembuktian apabila melibatkan kes di mahkamah. Dalam kes ini, tidak semua rakan mangsa boleh memberikan kerjasama sepenuhnya kerana bimbang terhadap ancaman dan ugutan oleh pelaku buli. Justeru, mewujudkan pasukan mata-mata / pemantau atau risikan dikalangan pelajar yang bertanggungjawab secara rahsia dalam menyalurkan maklumat kepada pihak yang berwajib. Penyaluran maklumat melalui telefon atau kemudahan teknologi lain tanpa perlu bersemuka dengan menggunakan nama samaran atau kod yang tertentu bagi menyalurkan maklumat kepada pihak yang tertentu dilihat sebagai usaha menangani kes buli di sekolah.

“Jika didalami perkara ini kejadian kes buli ini kita tidak boleh menuding jari mencari salah siapa dan peranan siapa. Semua pihak adalah bertanggungjawab bagi menangani isu buli ini. Walaupun pelbagai kaedah dilaksanakan bagi mengurangkan kes kes buli yang berlaku dan pelbagai hukuman telah dilaksanakan bagi menunjukkan keprihatinan dan keseriusan pihak kerajaan menangani isu buli ini namun masih ada kejadian buli yang menggemparkan sehingga berlakunya kehilangan nyawa. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama, bukan setakat Institusi pendidikan dan Kerajaan, malah setiap insitusi kekeluargaan, individu atau masyarakat perlu bertanggungjawab atas keselamatan diri sendiri, ahli keluarga, saudara dan rakan-rakan. Masyarakat atau individu perlu mempunyai sifat sentiasa bertolak ansur, sifat kemanusiaan dan saling menghormati antara satu sama lain. Ini kerana asas kepada wujudnya KELUARGA MALAYSIA adalah dibentuk daripada keperibadian generasi pada masa kini.

.