Dr. Haliza A Shukor
Dr. Haliza A ShukorPensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang

Kemenangan filem Parasite baru-baru ini pada anugerah Oscar membuka mata kita semua bahawa bahasa bukan penghalang bagi menggondol anugerah karya seni filem di arena antarabangsa.

Karya berkualiti ialah kriteria yang akan diambil kira dalam menentukan kejayaan sesebuah filem. Namun, terdengar desas-desus mengatakan bahawa sebelum filem Parasite ke layar perak, sudah wujud sebuah karya lain seumpama Parasite yang dikatakan mirip dengan jalan cerita itu, sekali gus bakal mengundang isu hak cipta.

Tidak kurang juga isu hak cipta yang dituntut oleh individu dikatakan membuat sumbangan bagi lagu Sumpah yang dimenangi Naim Daniel dalam Anugerah Juara Lagu Ke-34 baru-baru ini.

Perlu diingat bahawa pencipta karya mempunyai hak moral, iaitu hak untuk dikenali sebagai pencipta karya dan hak menghalang orang lain daripada melakukan pengubahsuaian terhadap karyanya sehingga menjejaskan reputasinya sebagai pencipta karya.

Hak moral itu disebut dengan jelas dalam Akta Hakcipta 1987 melalui seksyen 25. Secara asasnya, undang-undang hak cipta tidak melindungi idea, tetapi melindungi ‘ekspresi idea’ yang dihasilkan oleh seseorang pencipta karya. Ekspresi idea itu yang akan membezakan karya seseorang pencipta dengan pencipta lain.

Sebagai contoh, idea bagi sesebuah filem mungkin untuk menerangkan perbezaan darjat, si miskin dan si kaya. Cerita sebegini banyak dapat kita tonton dalam slot drama ataupun filem seperti karya seniman agung P Ramlee melalui filem Ibu Mertuaku.

Namun, idea bagi sesebuah filem tidak dilindungi oleh undang-undang hak cipta. Plot, jalan cerita dan watak yang dimainkan dalam sesebuah filem menjadi asas dalam menentukan sama ada sesuatu karya asli atau ciplak. Ia disebabkan plot, jalan cerita dan watak ialah ‘ekspresi idea’ seorang karyawan yang akhirnya membolehkan karya berkenaan dibezakan antara satu sama lain.

Undang-undang hak cipta juga agak unik kerana ia tidak memerlukan pendaftaran. Hak cipta akan diberikan secara automatik kepada mana-mana individu yang menghasilkan karya menurut undang-undang hak cipta. Sebagai contoh di negara ini, undang-undang berkaitan hak cipta terkandung dalam Akta Hakcipta 1987.

Selain itu, seseorang pencipta karya dinasihatkan agar membuat pemberitahuan sukarela kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) berhubung karya yang dicipta untuk memudahkan proses pembuktian bahawasanya karya terbabit ialah karyanya sendiri selaras dengan seksyen 26A Akta Hakcipta 1987.

Artikel ini telah diterbitkan pada 29 Februari 2020 di Berita Harian Online.