KLIA, 10 Disember 2018- Persidangan Islamic Education, Foresight and 4th Industrial Revolution (iFIRST2018) merupakan persidangan yang akan dianjurkan selama empat hari bermula 10 hingga 13 Disember 2018 bertempat di Mövenpick Hotel and Convention Centre KLIA. Persidangan yang bertemakan “Towards a Holistic Islamic Education in Facing the Future” ini dirasmikan oleh YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia.

Persidangan yang mengupas isu-isu mengenai pendidikan, teknologi dan pandangan jauh masa hadapan ini akan disertai oleh lebih 50 orang pendidik Islam dari seluruh Malaysia. Ia adalah usahasama antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Kedutaan Amerika Syarikat, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan IKRAM-Musleh.

Antara objektif utama persidangan ini adalah sebagai wadah perbincangan intelektual di kalangan para pendidik dan pentadbir pendidikan Islam mengenai halatuju pendidikan Islam yang holistik, cabaran dan penyelesaian yang praktikal serta peluang baharu dalam menghadapi revolusi perindustrian keempat. Ia juga menyediakan ruang bagi para peserta untuk meneroka wawasan masa hadapan pendidikan Islam menggunakan analisa keupayaan strategik. Kolaborasi penganjuran antara USIM, Kedutaan Amerika Syarikat, ABIM dan IKRAM-Musleh ini diadakan atas kesedaran berhubung peranan sosial yang perlu dilaksanakan dalam meningkatkan peranan pendidik dan pendidikan Islam yang holistik untuk mendepani masa hadapan.

”Revolusi Perindustrian ke-4 sangat mengubah cara kita hidup dan berfikir, meletakkan kuasa untuk mendidik dan mempengaruhi di hujung jari kita semata-mata. Kita semakin terserap dengan kebergantungan kepada teknologi moden, dan untuk memastikan ia tidak berlaku tanpa henti dan tidak dilepaskan tanpa melaksanakan protokol dan perlindungan yang relevan, akan menyebabkan kesan yang serius dan buruk kepada generasi masa depan kita. Oleh itu, Persidangan ini amat penting dan tepat pada masanya untuk menangani isu ini. Dalam menghadapi cabaran era milenium ini, peranan pemikir, cendekiawan pendidikan di setiap peringkat, dari pendidikan awal kanak-kanak ke sekolah rendah dan menengah, seterusnya ke pendidikan tinggi untuk memastikan pendidikan Islam tetap relevan dan terus menghasilkan ummah yang seimbang dan holistik bersesuaian dengan tema Persidangan pada hari ini”, ucap Prof Dato Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM.

 Pengisian sepanjang persidangan ini meliputi aspek pembangunan sahsiah pelajar dalam membentuk peribadi holistik dan seimbang, peranan pendidik Muslim, naratif pendidikan Islam semasa dan cabaran-cabaran masa hadapan pendidikan Islam. Ia disampaikan melalui perbincangan panel-panel jemputan, syarahan oleh penceramah antarabangsa dan tempatan, sesi perkongsian pengalaman, bengkel (workshop) dan sesi perbincangan terbuka. Antara ilmuwan Islam yang dijemput memberi input dalam persidangan ini ialah Dr. Zainab Alwani dari Howard University School of Divinity, Amerika Syarikat, aktivis Islam Afeefa Syeed pengasas Al-Fatih Academy Amerika Syarikat, aktivis pendidikan Hasrizal Abdul Jamil dari Universiti Oulu Finland, tokoh pemikir Islam Prof. Dato’ Dr. Siddiq Hj Fadzil dan tokoh pendidikan tinggi, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Dr. Norfadhilah Mohamad Ali, Pengarah Persidangan iFIRST2018 turut berkata, mensasarkan program ini kepada para pendidik dan pentadbir sekolah agama atau yang terlibat dalam pendidikan Islam dari sektor kerajaan dan swasta dari seluruh Malaysia. Persidangan ini membuka ruang kepada para peserta untuk menilai pencapaian pendidikan Islam sedia ada di Malaysia dan persediaannya dalam menghadapi cabaran baharu. Ini dilakukan menggunakan metodologi pemikiran masa hadapan (Futures Thinking) yang memerlukan para peserta mengandai kemungkinan dan melakar masa hadapan yang diinginkan (the preferred future) bagi pendidikan Islam di Malaysia. Ia satu proses yang membuka minda and diharap dapat menghasilkan perbincangan dan strategi yang menarik supaya dapat dimanfaatkan oleh pendidikan Islam di Malaysia.

”Kita berharap agar inisiatif ini disebar luas kepada semua yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam, supaya hasilnya dapat dimanfaatkan oleh generasi baharu dengan pendekatan naratif pendidikan Islam yang segar, dinamik, progresif dan dekat dengan masyarakat dalam konteks Malaysia dan antarabangsa”, ujar beliau lagi.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032