NILAI, 18 Jun 2021- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak melepaskan peluang untuk meraikan sambutan ke 21 ulang tahun dengan penganjuran program dijalankan secara dalam talian dikala negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pusat Alumni dan Kerjaya dengan kerjasama Pusat Komunikasi Strategik menganjurkan program Dialog Kepimpinan bersama Alumni yang bersiaran secara dalam talian Zoom dan juga Facebook USIM TV.

Menariknya program ini, para panel yang dibawakan adalah alumni Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) iaitu Dr Nisar Mohammad Ahmad dan Encik Mohd Hariri Mohamad Daud serta saudara Muhammad Hannan Mohd Haniff yang kini merupakan YDP MPP sesi 2020/2021. Moderator adalah Ustazah Ainul Farida Abdullah yang merupakan alumni Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Program yang berlangsung selama 1 jam 40 minit ini membincangkan serta berkongsi pengalaman para panel dari segi konsep kepimpinan sepanjang tempoh mereka menerajui pucuk kepimpinan MPP ketika itu.

Bagi Dr Nisar Mohammad Ahmad, kini merupakan Pensyarah Fakulti Syariah dan undang-undang  USIM juga sebagai penyelaras Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata, dalam kita memastikan apa jua ‘produk’ yang kita lahirkan dari univerisiti ini berjaya mencapai spesifikasi dan objektif yang telah digariskan, proses yang paling penting adalah di penghujung ‘produk’ itu. Kita menilai dengan menjalankan ‘quality control’ iaitu memastikan mereka memenuhi kriteria, karakter yang dikehendaki sebelum mereka bersama masyarakat. Salah satu karakter itu adalah sifat kepimpinan. Nilai kepimpinan ini adalah perlu ada bagi setiap orang, setidaknya dalam membimbing institusi keluarga dalam mendidik isteri dan anak-anak.

“Elemen kepimpinan dari perspektif warga USIM, penglibatan dalam berpersatuan merupakan nilai yang sangat penting yang tidak dapat dalam bilik kuliah. Dari situlah, bakat-bakat kepimpinan dapat diasah dalam melahirkan mahasiswa yang holistik, tidak hanya menjadi ‘ulat buku’ semata-mata dengan berpersatuan mereka akan membina kemahiran insaniah, dan keyakinan”.

Begitu juga perkongsian Encik Mohd Hariri Mohamad Daud merupakan Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat di JAKIM, kini sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah USIM  dalam membina branding, personalitinya ketika di zaman kepimpinan beliau adalah dengan pantas bertindak, sentiasa mengintai peluang dan bijak menumpukan dan memanfaatkan peluang tersebut.

“Pada tahun satu saya telah melibatkan diri dengan dunia luar iaitu bergaul rapat dengan senior, aktif dengan aktiviti berpersatuan, menulis artikel di akhbar dan majalah mengenai isu semasa dan ruangan pendapat, mendapat peluang dihubungi oleh pihak akhbar untuk mengulas isu kampus ketika itu. Dengan bakat menulis ini saya gunakan ia sebagai koleksi bahan semasa dipanggil temuduga selepas habis pengajian saya”, ujarnya.

“Aspek kepimpinan ini bukan sahaja diteladani oleh warga MPP, bahkan ia turut diteladani oleh persatuan-persatuan pelajar iaitu lebih kurang sebanyak 56 persatuan dan kelab di USIM”, jelas Muhammad Hannan Mohd Haniff .

Hannan menambah, perlunya imbau dan tinjau aspek kepimpinan yang lepas untuk diambil sebagai pengajaran dan teladan. Berhubung dengan ahli kepimpinan lepas sebagai panduan, para pelajar dan para pemimpin pelajar perlu melakukan jaringan hubungan yang luas dan baik dengan semua pihak.  Selain itu usaha untuk mencetak melahirkan generasi kepimpinan sebagaimana Nabi Muhammad SAW yang berjaya menjadikan sahabat-sahabat baginda mempunyai sifat-sifat kepimpinan seperti baginda dengan menunjukkan teladan dan akhlak yang baik.

Turut serta dalam program secara dalam talian ini adalah Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya Encik Mohd Asri Husain, dan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) Encik Hammad Farhi Mohd Saudi.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan