WELLINGTON, 9 Dis 2019 – Seramai 13 orang ahli kelab Pembimbing Rakan Universiti (PRU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjalankan misi kembara sukarelawan melalui projek Global Islamic Student Outreach (GISO). Membawa tema “Kembara Anak Watan di Bumi Maori”, pengembaraan ini berlangsung selama 13 hari termasuk perjalanan pergi dan balik bermula pada 27 Ogos sehingga 8 September 2019. Delegasi ini telah diketuai oleh Muhamed Faiz Asyraf Razali, selaku pengarah program dan diirigi oleh Puan Nur Farhana Sulaiman, penasihat Kelab Pembimbing Rakan Universiti (PRU).

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan adalah kelas bahasa isyarat dalam bacaan surah Al-fatihah bersama kanak-kanak Muslim tempatan dan kanak-kanak dari Syria dan Somalia di Wellington Islamic Center. Sukarelawan dari USIM turut menyumbang idea dalam projek mural bersama jawatankuasa Pusat Islam tersebut.

Kumpulan pengembaraan ini bertuah kerana mendapat kerjasama daripada EKTA New Zeland, badan NGO yang aktif dengan aktiviti kebajikan di sekitar New Zeland melalui program Food for Needy. Dengan mensasarkan golongan yang tidak mempunyai tempat tinggal atau lebih dikenali sebagai gelandangan, kumpulan sukarelawan bersama-sama EKTA telah mengedarkan sebanyak 50 bungkus nasi goreng kepada golongan sasaran di Reading Cinema, Cuba Street sebagai salah satu usaha memperkenalkan Malaysia.

Apa yang menarik, acara Food for Needy ini diadakan pada 31 Ogos 2019 bersempena sambutan Hari Merdeka dengan mengambil semangat cintakan negara di samping memupuk semangat untuk berbakti kepada mereka yang memerlukan. Acara tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan orang awam yang turut teruja apabila melalui kawasan tersebut sepanjang program berlangsung.

Tidak ketinggalan, kumpulan pengembaraan ini turut menjadi sukarelawan di Zealandia Eco-Sanctuary. Dengan dibantu oleh petugas dari Zealandia Eco-Sanctuary, Ashley Joy sukarelawan dari USIM telah melakukan aktiviti menebas pokok di dalam hutan sebagai salah satu langkah pencegahan awal untuk memastikan bahawa hutan tidak mudah terbakar kerana kepanasan global.

Menurutnya Ashley Joy, dengan melakukan aktiviti menebas untuk membina lorong di tengah-tengah hutan, diharap dapat mengelakkan daripada kebakaran merebak ke kawasan lain.

“Sekalipun, New Zealand tidak pernah berhadapan dengan isu kebakaran hutan, namun langkah awal yang diambil menunjukkan kesungguhan negara Kiwi tersebut dalam menjaga keindahan flora dan fauna sebagai aset yang penting buat negara itu. Aktiviti yang turut dikenali sebagai usaha melestarikan alam ini telah memberi satu pengalaman dan pengetahuan baru kepada peserta untuk dibawa pulang ke tanah air,” ujarnya.

Tidak lengkap misi sukarelawan untuk tujuan kebajikan jika tidak bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat. Rentetan dari itu, kumpulan pengembaraan ini turut meluangkan masa bersama warga emas di Riverleigh Residential Care, Hutt Valley selama hampir setengah hari. Sukarelawan USIM berpeluang memperkenalkan budaya Malaysia dengan mengajar cara bermain congkak serta demonstrasi memakai pakaian tradisional masyarakat Melayu kepada warga emas di sana. Keseronokan yang terpancar pada wajah seluruh penghuni rumah tersebut memberi 1001 makna buat semua sukarelawan yang terlibat. Nyanyian lagu rakyat “Can Mali Can” dan Jalur Gemilang yang disampaikan oleh sukarelawan USIM berkumandang megah hingga meruntun hati tetamu kehormat pada acara penutupan.

Duta Besar Malaysia di New Zeland, Puan Nurul Izzah Wong dilihat mengesat air mata dan sebak ketika diminta untuk memberikan ucapan penutupan.

“Saya amat terharu kerana mereka semua telah membawa the real spirit of Malaysian di sini. Ia benar-benar dekat dengan kehidupan kita di Malaysia. Saya harap dengan adanya program seperti ini akan mendorong lebih ramai lagi mahasiswa di Malaysia untuk menganjurkan program sebegini di negara ini,” ujar Puan Nurul Izzah Wong Mee Choo.

Kelab Pembimbing Rakan Universiti meletakkan harapan yang tinggi agar usaha murni ini dapat diteruskan oleh kumpulan-kumpulan pengembaraan yang lain di seluruh dunia disamping dapat membawa nama universiti di peringkat antarabangsa.

Pelaksanaan GISO kepada mahasiswa dan mahasiswi USIM untuk bergiat secara aktif dalam projek sukarelawan yang berskala besar di peringkat antarabangsa berjaya dilaksanakan. Selain memberi nilai tambah kepada para peserta untuk mendekatkan diri dengan masyarakat setempat di negara minoriti Muslim, melalui aktiviti libatsama masyarakat ia turut membuka ruang jaringan kerjasama bersama badan-badan bukan kerajaan yang aktif dalam aktiviti sukarelawan di negara Kiwi tersebut.






Disediakan oleh:
Mohamed Faiz Asyraf Razali
Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan