NILAI, 24 Feb 2017 – Infrastruktur teknologi maklumat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ditingkatkan ke tahap baharu dengan siapnya projek Bilik Server Utama yang menjadi nadi kepada keberkesanan dan kelancaran perkhidmatan berteraskan internet di dalam kampus.

Bilik Server Utama ini menempatkan server dan storan bagi sistem-sistem aplikasi serta penempatan utama rangkaian dan internet USIM. Projek yang menelan  belanja sebanyak RM 1.45 juta melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) kepada USIM ini berjaya dilaksanakan oleh Pusat Pembelajaran Akses Terbuka Global Teknologi Imersif dan Jalinan Kualiti (GOAL- ITQAN) USIM dengan kerjasama Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti USIM dan kontraktor yang dilantik i-Loken Sdn. Bhd.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Zulkiple Abd Ghani mewakili Naib Canselor pada pagi tadi bertempat di Lobi Utama Bangunan GOAL-ITQAN. Bilik Server Utama yang menempatkan 17 rak server ini turut  dilengkapi sistem keselamatan berteknologi tinggi, bekalan kuasa elektrik berasingan, sistem penyejukan terkini dan pengoptimuman penggunaan tenaga (cekap tenaga).

Dalam majlis yang sama turut diumumkan pelaksanaan Baucer Staf 1 Notebook (BS1N) kepada kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P). “Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang terbaik adalah satu keutamaan untuk kita sediakan di dalam Universiti untuk menyokong pelbagai tugasan pentadbiran dan akademik”.

“Melalui baucer ini, kakitangan yang layak boleh membeli notebook sendiri dengan sebahagian kos pembelian ditanggung oleh Universiti dan lebih menarik, notebook tersebut akan menjadi hak milik kekal staf berkenaan. BS1N secara langsung membolehkan penjimatan perolehan ICT  dikurangkan sebanyak 60% berbanding kaedah perolehan sedia ada termasuk kos baik pulih dan penyelenggaraan. Saban tahun Universiti memperuntukkan belanja mengurus yang tinggi untuk tujuan ini dan kini ia dapat dikurangkan” ucap Profesor Dato’ Dr. Zulkiple Abd Ghani.

Selain itu, baru-baru ini USIM juga telah diluluskan penambahan 1 gbps rangkaian internet melalui MyREN Network Sdn. Bhd di bawah Kementerian Pendidikan  Tinggi. Dengan adanya penambahan ini,USIM dapat menikmati talian internet 2 gbps mulai Jun 2017 bagi menyokong kelancaran aktiviti pengajaran dan pembelajaran di USIM.

Turut hadir dalam majlis perasmian dan melihat secara dekat Bilik Server Utama USIM ialah Profesor Dr. Roshada Hashim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi); Encik Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar; dan Profesor Dr. Rozhan Mohammed Idrus, Pengarah GOAL-ITQAN.