NILAI, 3 Mei 2019 – Kidz Corner dan ’Belaian Urut Diraja’ antara 11 aktiviti dianjurkan oleh Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sempena bulan Ramadan kali ini dengan menjangkakan tarikan warga USIM dan sekitarnya untuk sertai aktiviti untuk beriadah sambil beribadah di Kompleks Islam Tunku Muhriz (KITM).
Menurut Pengarah Pusat Islam, Encik Mohd Aizuddin Abdul Aziz berkata kebanyakan aktiviti yang dirancang ini adalah kali pertama dianjurkan di Pusat Islam dan jangkaan program Belaian Urut Diraja serta Kidz Corner ini yang akan menjadi tarikan utama.
“Aktiviti Belaian Urut Diraja ini adalah demonstrasi urut yang berkonsepkan urutan orang Melayu zaman dahulu untuk mengekalkan kesegaran sepanjang Ramadan,” katanya ketika ditemubual.
Tambahnya, aktiviti urutan ini akan diketuai oleh En Azlan Ghani, Karyawan Tamu di Pusat Pengajian Teras.
Manakala, Kidz Corner menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada kanak-kanak yang berumur antara 2 hingga 9 tahun yang akan diadakan di Bilik Serbaguna KITM.
“Cadangan untuk menganjurkan aktiviti ini adalah untuk memberi peluang kepada ibu bapa yang hadir menunaikan ibadah solat tarawih dengan sempurna dan tenang. Ia selaras dengan tema kami iaitu “Nikmatilah Ibadah, Anak Anda Kami Endah”, di mana anak-anak yang dibawa akan dijaga oleh fasilitator yang dilantik dengan menyertai pelbagai aktiviti yang bermanfaat seperti mewarna, bercerita, tahsin bacaan surah di dalam solat dan sebagainya,” katanya.
Dengan adanya kehadiran kanak-kanak ini ke KITM secara tidak langsung dapat mendidik dan memupuk anak kecil untuk cintakan masjid dan membina kesungguhan untuk mempelajari solat dan bacaan surah al-Quran.
Di samping itu, Pusat Islam juga menyediakan tazkirah Ramadan dan Quote Ramadhan secara santai dalam bentuk video yang akan diedarkan melalui INFOPRO yang bertemakan Sharing and Caring seperti perkongsian tips makanan, kesihatan dan sebagainya.
Antara aktiviti lain seperti Halaqah Mengaji yang mana setiap bacaan akan disemak oleh guru al-Quran untuk memperbaiki bacaan setiap peserta, Iftar Jama’ie, Solat Tarawih, Moreh, Qiamullail, dan World Quran Hour sebagai penutup aktiviti sepanjang Ramadan.
Disediakan oleh:
Dr Fauziah Hasan
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan