NILAI, 28 November 2017 – Kumpulan Penyelidik PRGS – Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Persatuan Kakitangan Akademik USIM (PKA USIM) telah menganjurkan Pertandingan Global Zakat Game Peringkat Kebangsaan 2017 pada 8 November lalu yang dihoskan oleh USIM di Dewan Tuanku Canselor (DTC) dan diketuai oleh Prof Madya Dr Azman Ab Rahman yang juga merupakan Pereka GZG dan pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM.

Tujuan pertandingan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan fiqh zakat melalui medium pembelajaran yang interaktif dan ilmiah dan juga untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kewajipan berzakat dan mendorong mereka untuk membayar zakat. Selain itu, melalui pertandingan ini, kemahiran pengiraan zakat harta dalam kalangan amil dan muzakki meliputi pelbagai jenis zakat juga dapat diperkukuhkan. Seterusnya melahirkan amil yang profesional dan cekap dalam pengurusan zakat.

Pada edisi pertama pertandingan ini, Kolej PERMATA Insan (KPI) telah menghantar sebanyak dua pasukan yang disertai oleh seramai lapan orang pelajar terdiri daripada pelajar Asas 1, Asas 2 dan Asas 3. Pasukan pertama yang dikenali sebagai KPI 1 dianggotai oleh Abdul Razzak Khan bin Rustum Ali Khan (Asas 3), Ahmad Haziq bin Mohamed Sabri (Asas 3), Muadzam Fahmy bin Mokhtar (Asas 2) dan Muhammad Zaim bin Mohamad Shukri (Asas 1). Manakala bagi kumpulan kedua, KPI 2 dianggotai oleh  Hasya Amalia binti Adnan (Asas 3), Ahmad Zamir bin Zamri (Asas 3), Adam Nabil Rasyad bin Mohd Rafidi (Asas 3) dan Muhammad Syahiran Ammar bin Suzrin Manja (Asas 1).

Dengan penyertaan dalam katergori sekolah menengah, pasukan KPI bersama 18 pasukan dari sekolah menengah seluruh Malaysia bertanding bagi merebut Johan Kategori Sekolah Menangah. Manakala bagi Juara Keseluruhan, pasukan KPI bertanding bersama lebih 48 pasukan dari kategori sekolah rendah, sekolah menengah, mahasiswa institusi pengajian tinggi dan swasta, amil/ejen institusi zakat negeri dari Majlis Agama Islam Negeri, guru/kakitangan akademik/pensyarah serta kategori awam/pelajar ansnaf/alumni USIM/ejen amil dari seluruh Malaysia. Pertandingan GZG ini telah berlangsung selama 1 jam 30 minit dengan bantuan banker bagi setiap kumpulan. Dimulai dengan bengkel p & p gamifikasi dalam pendidikan islam serta simulasi dan uji kaji GZG pada sebelah pagi.

Dengan strategi pemainan, pengurusan masa dan pengetahuan ilmu fiqh zakat yang baik, pasukan KPI 1 dengan ahlinya iaitu Abdul Razzak Khan, Ahmad Haziq, Muadzam Fahmy dan Muhammad Zaim telah merangkul Juara Kategori Sekolah Menengah mengalahkan 19 pasukan lain. Mereka membawa pulang piala pertandingan, sijil dan hamper bagi kemenangan ini.

Kemuncak pertandingan yang amat berdebarkan telah menyaksikan kemenangan pasukan KPI 1 sekali lagi yang sekali gus dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Pertandingan Global Zakat Game Peringkat Kebangsaan 2017. Kejayaan setiap ahli pasukan membayar semua jenis zakat iaitu zakat pertanian, zakat ternakan, zakat emas dan perak, zakat pendapatan, zakat perniagaan dan zakat harta karun di pertandingan ini telah memastikan pasukan KPI 1 menjadi pasukan terbaik pertandingan. Kemenangan bagi Juara Keseluruhan ini juga membawa pulang piala, sijil dan hamper.

Harapan kepada masyarakat

Pertandingan GZG pasti memberi peluang yang besar untuk masyarakat dalam memahami zakat seterusnya memberi kesedaran terhadap pentingnya membayar zakat dalam kehidupan.

 

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204