NILAI, 29 September 2018 – Bergema Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dengan tembakan senjata Colt M-16 apabila seramai 158 orang pelatih Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (Suksis) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengikuti program menembak anjuran Kor Suksis USIM baru-baru ini.

Para pelatih yang terdiri daripada Skuad 10, 11 dan 12 ini ternyata teruja apabila berpeluang mempelajari kaedah mengendalikan Colt M-16 dan seterusnya menggunakan senjata untuk latihan tembakan menggunakan peluru sebenar. Sepanjang sesi latihan ini, pelajar Kor Suksis dilatih dan dipantau secara dekat oleh Unit Persenjataan (AMRA) IPK Negeri Sembilan seramai 14 orang serta empat jurulatih Kor Suksis.

Para pelatih yang ditemui semuanya memberi reaksi gembira selepas tamat sesi latihan menembak. Menurut mereka, bimbingan dari anggotan AMRA IPK Negeri Sembilan telah memberi keyakinan dan keberanian kepada mereka untuk menyelesaikan latihan ini terutamanya bagi yang kali pertama memegang senjata.

Latihan menembak ini turut di sertai oleh Pegawai Kehormat Kor Suksis USIM dengan menggunakan pistol jenis Walther 9mm iaitu Komandan, ACP/KS Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan; Timbalan Komandan, SUPT/KS Hisham Sabri; Ajutan, DSP/KS Ir Sharin Amri Jahri dan Pegawai Latihan Luar, ASP/KS Mohd Zaini Othman. Turut bersama ialah Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Negeri Sembilan iaitu ACP Samad Yahya.

Dalam ucapan semasa Majlis Perasmian Penutup Modul Latihan Menembak ini, Komandan Kor Suksis USIM mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang telah menunjukkan prestasi yang baik semasa latihan di adakan. “Para pelatih Kor Suksis USIM amat beruntung kerana latihan menembak dijadikan sebagai salah satu modul latihan yang perlu diikuti sepanjang mengikuti kursus beruniform ini. Saya menyakini latihan ini bukan semata-mata hanya memberi pendedahan kepada pelatih dalam mengendalikan senjata dan menembak tetapi disebaliknya juga ia mengajar mengenai disiplin, fokus dan mendengar arahan”.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah bagi pihak Pengurusan Universiti atas kejayaan yang dirangkut oleh Kor Suksis USIM dalam Majlis Perbarisan dan Tamat Latihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada Ogos lalu apabila merangkul Anugerah Khas Ketua Polis Negara. Anugerah ini diberikan kepada Kor Suksis Terbaik Keseluruhan daripada semua Kor Suksis Universiti Awam lain dan ia merupakan kejayaan yang cemerlang kerana mengekalkan anugerah yang sama diterima pada 2017.

Pada sesi latihan ini, KS 82052 Mohd Akif Fiqry Sulaiman dari Skuad 11 dipilih penerima penembak terbaik lelaki manakala perempuan disangdang oleh Ins/KS Aaina Rabiha Abdul Raffar dari Skuad 10. Sebelum mengikuti latihan menembak ini, para pelajar Kor Suksis USIM telah mengikuti latihan musketery terlebih dahulu bagi memastikan mereka bersedia dan mengenali fungsi senjata yang digunakan serta aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032