NILAI, 27 Februari 2018 – Kolej PERMATA Insan, (KPI)  USIM telah menerima 66 orang pelajar dari Islamic Studies Demonstration School (ISDS) Prince of Songkhla University, Thailand untuk program ASEAN Islamic Science Camp 2018 bermula 19 Februari 2018 sehingga 27 Februari 2018.

Kunjungan kali kedua ini merupakan program tahunan ISDS dan KPI dalam menjalinkan hubungan dua hala bagi berkongsi idea dan kokurikulum dalam pendidikan. Lebih menarik lagi kedua-dua sekolah ini merupakan konsep sekolah dalam kampus yang menekankan aspek sains dan teknologi dalam pendidikan.

Program yang berlangsung selama Sembilan hari ini disusun dengan pelbagai aktiviti antara pelajar Kolej PERMATA Insan bersama pelajar Islamic Studies Demonstration School. Pelajar ISDS diberi peluang untuk sama-sama menyertai pelajar KPI dalam aktiviti pembelajaran merangkumi, sesi hafazan Al-Quran pada waktu sebelum subuh dan selepas maghrib, sesi akademik, aktiviti kelab dan persatuan serta unit beruniform. Selain itu, rombongan ISDS juga dibawa ke beberapa tempat menarik seperti Petrosains dan Taman Wetland Putrajaya sebagai aktiviti penerokaan sains secara lebih dekat lagi.

Timbalan Pengarah Nor Adlyizan Theis berkata, aktiviti- aktiviti seperti PERMATA Insan Carnival, Malam Santapan Warisan dan  Merentas Kampus juga turut diadakan sepanjang kem ini berlangsung. Objektif utamanya adalah untuk mempastikan pelajar-pelajar ini dapat mempelajari sedikit sebanyak berkaitan sistem pendidikan pintar dan berbakat yang dijalankan di KPI selain mengukuhkan hubungan silaturahim antara mereka.

“Proses pertukaran budaya juga wujud melalui program ini seperti dalam aktivti KPI Masterchef dan Pertandingan Permainan Tradisional Malaysia yang menjadi sub program dalam Permata Insan Carnival turut disertai oleh pelajar ISDS. Mereka diajar bermain permainan seperti batu seremban, congkak dan ceper, manakala pada petangnya pelajar-pelajar KPI berpeluang untuk sama-sama bergotong-royong menyediakan masakan tradisional Thailand seperti Som Tam, Tom Rap, Pulut Ayam dan beberapa lagi manisan tradisional Thailand” tambah beliau lagi.

Menurut Abdullah Muaz, pelajar Asas 3 Kolej PERMATA Insan, Program seperti ini dapat memberi mereka peluang dan ruang untuk berinteraksi dengan masyarakat luar. Mereka juga dapat menerangkan kepada peserta Thailand tentang silibus dan cara pembelajaran KPI.

Fahad Tayeh, Pelajar ISDS juga menyatakan keterujaanya sepanjang berada di KPI. Beliau dan kawan-kawan dapat mempelajari budaya belajar pelajar KPI, bangun seawal 4.30 pagi untuk bersedia ke kelas hafazan. Perkara tersebut adalah sesuatu yang baru bagi mereka walaupun mengantuk tapi kagum dengan suasana pembelajaran yang diamalkan di KPI.

Adalah diharapkan program seperti ini dapat terus dijalankan pada masa akan datang. Selain daripada pelajar KPI dan ISDS dapat bertukar pendapat dan idea berkaitan aktiviti harian mereka di sekolah, pelajar juga dapat mempelajari budaya negara lain. Pelajar ISDS juga dapat memahami bagaimana proses pembelajaran pelajar KPI dengan penambahan elemen integrasi naqli dan aqli dalam aktiviti akademik mereka.

 

Disediakan oleh:
Nor Adlyizan Theis
Kolej Permata Insan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204