NILAI, 11 Mac 2018 – Penyertaan kali kedua pelajar Kolej PERMATA Insan yang terdiri daripada pelajar berumur 15 tahun (Asas 3) mengukir kenangan indah apabila muncul Naib Johan dalam pertandingan Tunas Cipta 2018 (Tunas Cipta ’18) yang berlangsung pada 10 dan 11 Mac bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Unviersiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tunas Cipta ‘18 merupakan pertandingan idea kreatif tentang rekacipta & inovasi Islam peringkat sekolah menengah yang dianjurkan USIM bersempena dengan Ekspo Inovasi Islam 2018 (i-Inova’18) dan Islamic Global Innovation Festival and Talent (i-GIFT) 2018. Tahun ini merupakan tahun keenam penganjurannya dan diterajui oleh Urusetia Rekacipta dan Inovasi (UREKA) USIM. Objektif utama program ini adalah untuk mencungkil bakat-bakat muda khusus bagi pelajar sekolah yang kreatif dan inovatif, sekaligus membudayakan inovasi dalam kalangan remaja Malaysia.

Pada tahun ini, Pertandingan Tunas Cipta membawa kelainan dengan menampilkan pembentangan produk inovasi bagi membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan produk inovasi yang dihasilkan dapat membantu memudahkan urusan harian dan meningkatkan produktiviti golongan OKU yang berteraskan Sains Islam.

Dua wakil daripada Kolej PERMATA Insan yang terdiri daripada tiga orang ahli setiap kumpulan iaitu (i) Kumpulan A; Ahmad Faiz Yazid, Irfan Ezani Shuhaimi dan Muhammad Aiman Hakim Mohd Azizan manakala (ii) Kumpulan B; Muadzam Fahmy Mokhtar, Ahmad Danial Hidayatullah Badrolhisam dan Muhammad Haziq Kamal Arifin.

Persediaan selama satu hari menjalani bengkel yang disediakan pihak penganjur, ternyata berbaloi apabila Kumpulan B muncul sebagai Naib Johan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM 200 tajaan Yayasan Faqeh beserta sijil iringan. Manakala, Kumpulan A telah diumumkan sebagai penerima Saguhati ke-3.

“Alhamdulillah, kerjasama dan persefahaman yang baik antara ahli pasukan membuahkan rezeki kepada Kolej PERMATA Insan kali ini. Saya juga begitu yakin pada penyertaan kali ini kerana pengalaman pada tahun lalu diaplikasikan sebaik mungkin untuk menyandang gelaran Naib Johan tahun ini,” ulas Muadzam Fahmy Mokhtar selaku ketua Kumpulan B yang turut dinobatkan sebagai penerima People Choice Award pada pertandingan Tunas Cipta ’17.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Kementerian Sains Teknologi & Inovasi (MOSTI).

Disediakan oleh:
Nor Adlyizan Theis
Kolej Permata Insan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204