NILAI, 6 Jan 2019 –  Kolej PERMATA Insan (KPI) terima seramai 75 pelajar baharu berusia 12 dan 13 tahun untuk Asas 1 dan 16 Tahun untuk Tahap 1. Mereka terdiri dari 30 pelajar lelaki dan 45 pelajar perempuan. Pelajar-pelajar ini dipilih setelah melalui ujian penilaian dan kelayakan UKM-1 dan UKM-2 seterusnya menduduki ujian USIM-1 dan STEM Muhayyam Al-Abrar.

Pada tahun ini, Kolej PERMATA Insan telah menambah polisi pengambilan pelajar dengan menambah pengambilan daripada pelajar Tahap 1 yang berumur 16 tahun. Keputusan ini dibuat berdasarkan perbincangan dengan pihak pengurusan USIM bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar lepasan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) turut sama memohon untuk kemasukan ke KPI.

Pendaftaran yang bermula jam 8.30 pagi itu disusuli dengan majlis taklimat pelajar baharu. Pada sesi taklimat ini ibu bapa dan pelajar baharu diberi penerangan berkaitan laluan akademik di KPI, oleh Dr. Rahayu Ahmad (Penyelaras Hal Ehwal Akademik), Program Hafazan dan Al-Quran oleh Ustaz Ahmad Bazli Ahmad Hilmi (Penyelaras Program Hafazan) dan Taklimat berkaitan hal ehwal pelajar dan asrama oleh Dr Rozita Zainal (Penyelaras Hal Ehwal Pelajar).

Taklimat ini adalah penting kerana silibus pelajaran di KPI adalah berlainan dengan silibus sekolah biasa dan diwujudkan juga beberapa laluan akademik bagi memudahkan pelajar pintar dan berbakat ini menyambung pengajian di universiti-universiti terpilih setelah mereka tamat belajar nanti.

Menurut Adik Idriz Hafiz Muhamad Sazali, Pelajar Baharu Tahap 1, beliau memilih KPI sebagai tempat untuk menyambung pengajian kerana beliau berpendapat KPI sebuah institusi yang unik yang menggabungkan ilmu naqli dan aqli dalam pengajaran dan pembelajaran. Beliau yang juga merupakan pelajar cemerlang dari sekolah lama beliau yang bertaraf  Sekolah Berasrama Penuh (SBP) merasakan KPI mampu merealisasikan impian dan cita-cita beliau untuk menjadi Doktor Perubatan, selain daripada menjadi penghafal Al-Quran.

Pelajar-pelajar baharu ini akan mengikuti program orientasi selama seminggu sebelum dipecahkan kepada kelas-kelas yang telah ditetapkan. Adalah menjadi harapan seluruh warga Kolej PERMATA Insan dan USIM agar pelajar-pelajar baharu ini akan terus menyumbang kejayaan demi kejayaan dalam menaikkan nama KPI dan USIM di persada antarabangsa.

 

Disediakan oleh:
Kolej PERMATA Insan

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032