Bandar Baru Nilai, 24 Mac 2011 – Seramai 293 penuntut tajaan Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia mendaftarkan diri bagi Program Pensiswazahan Guru (PPG) di Universiti Sains Islam Malaysia baru-baru ini.

Menurut Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) Profesor Madya Dr. Bhasah Abu Bakar, ini adalah kumpulan pertama bagi program PPG ini dan merupakan program yang dikhaskan untuk golongan pendidik yang masih belum memiliki ijazah pertama.

“Ambilan pada kali ini melibatkan Program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam Sekolah Menengah) Dengan Kepujian dan Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) Dengan Kepujian” katanya.

“Para pelajar akan menggunakan kaedah pembelajaran menggunakan modul khas dan juga MyLMS, iaitu satu aplikasi online yang membolehkan pelajar mendapatkan maklumat pembelajaran dan juga kemudahan berinteraksi sesama mereka dan pensyarah. Manakala kelas akan dijalankan setiap 2 minggu sekali” tambah beliau lagi.

Proses pendaftaran bermula sewal jam 8.30 pagi bertempat di ruang legar perpustakaan USIM ini melibatkan penuntut dari Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Sabah, Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Pelbagai pengisian program dijalankan sepanjang proses pendaftaran berlansung, antaranya ialah sesi taklimat mengenai USIM; taklimat akademik dan antarabangsa oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Profesor Dr. Musa Ahmad dan taklimat oleh BPG.

Naib Canselor USIM, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda juga turut hadir bagi memberikan amanat kepada para guru yang mendaftar. Beliau mengingatkan supaya peluang yang diberi ini digunakan dengan sebaik-baiknya untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga beroleh kejayaan dan seterusnya menjadi warga pendidik al-abrar yang berbakti kepada masyarakat .

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Seksyen Hubungan Media dan Publisiti
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia

Tel: 06-798 8027