NILAI- 13 September 2018 – Baru-baru ini seramai 13 orang daripada 15 orang ahli kumpulan Duta Jauhar USIM 5.0 telah memberi kunjungan hormat ke pejabat Naib Canselor iaitu Proffesor Dato’ Dr. Musa bin Ahmad bertempat di bangunan Canselori USIM. Kunjungan tersebut dimulakan dengan bacaan selawat ke atas baginda S.A.W. serta bacaan doa sebelum memulakan majlis. Kemudian diikuti sesi taaruf antara ahli Duta Jauhar dengan Naib Censelor bagi merapatkan lagi hubungan silaturahim antara mereka bersama beliau. Mereka juga berkesempatan berkongsi mengenai projek yang dijalankan iaitu Fruitty Delight serta memberitahu perkembangan semasa sepanjang projek tersebut dilaksanakan.
Kunjungan ini juga ternyata memberi impak yang positif terhadap ahli-ahli Duta Jauhar kerana mereka berpeluang menerima amanat daripada ayahanda sendiri. Beliau berpesan, “Apabila anakanda berkecimpung dalam mana-mana program atau kelab, biarlah ianya seiring dan selari antara belajar dan program. Jika kita gagal dalam akademik, namun berjaya dalam program takut menjadi fitnah untuk kita”.
Katanya lagi, “Usah sesekali menjadikan alasan malas kerana pada masa muda ini lah kena berbakti untuk diri sendiri dan masyarakat”. Amanat tersebut ternyata memberi semangat kepada mereka untuk terus bergerak kehadapan. Kunjungan ini juga memberi kesan baik dimana ahli Duta Jauhar dan ayahanda dapat menjalinkan kerjasama antara kedua belah pihak serta dapat mengenali antara satu sama lain melalui perbualan dan interaksi tersebut. Selain itu, pemberian nasihat dan peringatan dari ayahanda kepada ahli Duta Jauhar itu juga ternyata memberi kesan kepada mereka supaya sentiasa cekalkan hati dan kuat untuk meneruskan projek tersebut.
Kesimpulannya, melalui kunjungan ini Ahli Duta Jauhar dapat mengetahui dan mengambil cara terbaik dimana pergaulan mesra dan semangat bersatu padu yang dijalinkan ini mampu menjadi tiang yang kukuh bagi membuktikan bahawa ayahanda dan mereka dapat membentuk golongan anak muda pada masa kini untuk terus berusaha gigih berbakti kepada masyarakat.
Hal ini juga sangat penting bagi memupuk sifat kerjasama antara golongan atasan dan bawahan. Walaubagaimanapun, perjumpaan yang ringkas ini dapat memberi impak yang positif kepada ahli Duta Jauhar 5.0 USIM sendiri kerana nasihat, teguran serta pendapat daripada ayahanda bukan sahaja boleh diaplikasikan dalam urusan pentadbiran Duta Jauhar malah ia juga boleh diaplikasikan dalam kehidupan ahli-ahli Duta Jauhar. Akhir kata, kami berharap agar apa yang dikatakan oleh ayahanda boleh kami teruskannya dan mempertingkatkan serta turut istiqomah dalam membantu ummah dengan kehendak Ilahi In Syaa Allah.
Disediakan oleh:
Nurul Nabilah binti Johari
Media dan Publisiti, Duta Jauhar 5.0 USIM
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032