NILAI, 21 DIS 2016 – Berentap di hadapan bekas jaguh badminton negara, Dato’ Seri Jalani Haji Sidek dan berpeluang mendengar sendiri perkongsian pengalaman hidup beliau dalam sukan ini pastinya satu kenangan indah buat para peserta Kejohanan Badminton Tertutup Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2016.

Kejohanan yang berlangsung selama sehari  dianjurkan oleh Pusat Sukan USIM bersama Urusetia USIM Shuttler bertempat di KLIA Sports Complex, Nilai disertai 64 orang pemain terdiri dari kakitangan dan mahasiswa USIM.

“Kejohanan ini ibarat penutup kalendar sukan USIM 2016. Tujuan utamanya adalah untuk mencari bakat-bakat baru yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai atlet USIM dalam sukan badminton. Badminton antara sukan tumpuan dalam kejohanan sukan antara universiti dan kita mahu menjadikan acara ini antara sukan yang mengharumkan nama universiti di masa hadapan”.

“Kita ingin memastikan motivasi peserta tidak terhenti dengan kemenangan atau kekalahan selepas tamat kejohanan ini, juseteru itu untuk kita pastikan semangat mereka dalam sukan badminton terus kuat dan membara, kita ambil kelainan melalui kehadiran lagenda badminton Malaysia, Dato’ Seri Jalani Haji Sidek” ujar Mohd Fauzi Amiruddin selaku Pengarah Kejohanan ini.

Selain berkongsi pengalaman perjalanan hidup beliau dalam sukan badminton, Dato’ Seri Jalani turut tidak lokek untuk berkongsi tips dan nasihat bersama para pemain untuk menjadi pemain badminton yang baik.

Pada akhir kejohanan yang mempertaruhkan hadiah keseluruhan bernilai RM 1600.00, juara pasangan regu lelaki dan wanita untuk kategori mahasiswa masing-masing disandang oleh Mohamad Nasrullah Mohd Noor dan Harithah Mohd Yaziz serta Syahida Abdul Aziz dan Siti Aisyah Azmi.

Menurut penganjur, penyertaan yang sangat menggalakkan dalam kejohanan ini diharapkan menjadi sandaran untuk ia diacarakan secara tahunan oleh university kerana selain menjadi medan mencari pelapis, ia turut mempromosikan gaya hidup sihat dikalangan warga Universiti dan merapatkan silaturrahim antara kakitangan dan mahasiswa.