NILAI, 16 November – Diploma Pascasiswazah Pendidikan (Pendidikan Islam) (DPPPI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Program “Ayuh Terokai Kebudayaan Arab” yang disertai oleh pelajar sekolah antarabangsa dan tempatan bertujuan memperkenalkan budaya dan adat resam bangsa Arab kepada para peserta seterusnya menambahkan kecintaan mereka terhadap Bahasa Arab.

Penyelaras Unit Bahasa Arab USIM Pn Sulhah Ramli berkata ini adalah satu bentuk program yang menunjukkan rakyat Malaysia mengambil berat dan mempunyai minat mempelajari kebudayaan Arab.

“Dengan adanya program ini memberi peluang kepada peserta untuk mengembangkan lagi kemahiran serta bakat mereka,” ujarnya.

“Saya berharap perkara seperti ini akan diadakan lagi sebagai acara tahunan supaya dapat mengembangkan lagi pengetahuan dan kemahiran insaniah peserta,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Program ini dihiasi persembahan deklamasi sajak, bercerita dan nasyid oleh pelajar dari Libya dengan berpakaian tradisi negara mereka.

Program anjuran USIM dan USIM Tijarah Holdings SDN BHD turut dihadiri oleh Ketua Jabatan Pendidikan Bahasa Arab Universitas Jogja, En. Talqis Nurdianto sebagai juri jemputan.

Disediakan oleh :
Qurratu ‘Aini