NILAI, 15 MAC 2018 – Seramai 32 Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) Tahun 3 menjalankan program Khidmat Ummah  dan  Kesukarelawanan Sempena Hari Kejohanan  Sukan Sekolah kali ke-60 di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth,Johor Bahru (SKPK Princess Elizabeth)  pada hari Khamis, 15 Mac 2018 yang lalu.

Bertemakan “Dengan Hikmah kami Teroka” pelaksanaan program ini bertujuan untuk mendidik dan memberi peluang untuk merasa tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa USIM yang cakna dlmenimba pengalaman sekaligus dapat meningkatkan kesedaran nilai-nilai empati terhadap pelajar yang mengalami cacat penglihatan disekolah tersebut.

Antara acara sukan yang disertai oleh pelajar tahun 1 hingga tahun ini adalah lari dalam guni, lumba beca, terompah gergasi dan junjung pasir.

Pengarah Program Saudara Amir Aizzat bin Md Najib melahirkan rasa bangga dan teruja dengan terlaksananya program khidmat ummah ini dapat memberi pengalaman dan pendedahan kepada mereka sebagai sukarelawan dalam menjayakan program sukan bersama anak-anak istimewa ini mengikut cara mereka tersendiri. Ia juga adalah untuk mendekati pelajar-pelajar yang mengalami masalah penglihatan serta masalah pembelajaran selari dengan pengkhususan mereka yang mengambil kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah .

“Selain itu, kami juga turut mengadakan aktiviti tazkirah ringkas dan juga usrah santai bersama anak-anak tersebut. Dengan adanya program seperti ini ianya mampu merubah persepsi masyarakat terhadap golongan kelainan upaya yang mana bakat mereka disisihkan oleh masyarakat walhal mereka mempunyai bakat yang tersendiri bahkan ada daripada mereka mampu menyaingi bakat orang-orang normal. Hakikatnya kita semua adalah sama dan setiap orang ada kelebihannya yang tersendiri dan yang membezakan hanyalah iman dan taqwa”.

“Sebagaimana dalam firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 “Wahai umat manusia sesungguhnya kami telah meciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak , supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya diantara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu”, tambah Aiizat.

Guru Besar SKPK Princess Elizabeth En.Mohd Dini Bin Karim turut merakamkan ucapan terima kasih pada mahasiswa mahasiswi USIM yang terlibat sama sebagai sukarelawan dalam membantu pihak sekolah menjayakan Kejohanan hari Sukan Sekolah kali ke-60 di SKPK Princess Elizabeth,Johor Bahru. Beliau menyeru supaya kita dapat membantu masyarakat awam yang berkelainan upaya (OKU).

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204