SABAH, 15 Jan 2017- 32 mahasiswa sekretriat Fakulti Sains dan Teknologi (SekreFaST) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyalurkan khidmat bakti kepada komuniti Muslim di Kg. Kilimu, Ranau, Sabah selain turut mengadakan lawatan ilmiah ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut pengarah program, Muhammad Akid Hafriz, antara aktiviti yang dijalankan bersama penduduk kampung adalah aktiviti rawatan terapi perubatan Islam oleh Man Ana Therapy Centre dengan mempelajari teknik akupuntur dan berbekam yang betul serta aktiviti gotong royong membersihkan kawasan kampung dan surau.

“Kunjungan ini telah membuka ruang kepada penduduk kampung mencuba teknik baharu dalam perubatan selain adanya ubat-ubatan hospital dan rawatan tradisional yang lain,” kata wakil penduduk kampung yang mana minoriti golongan Muslim adalah 30% Islam dan 70% bukan Islam.

Kunjungan ke UMS pada hari ketiga memberi peluang kepada pelajar USIM dan UMS untuk saling berkongsi idea dan maklumat aktiviti untuk diadaptasi ke UA masing-masing.

“Diharap segala perkongsian aktiviti yang kami jalankan di UMS dapat memberi sedikit sebanyak idea dan panduan kepada rakan-rakan di USIM,”jelas Saudara Hannan, wakil Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS.

Aktiviti akhir iaitu lawatan ke Sekolah Rendah Islam, Kota Kinabalu juga dimanfaatkan dengan menjalankan aktiviti bersama melibatkan pelajar tahun 3 dan 5 berkaitan subjek Sains dan Sejarah selain menerapkan ilmu Naqli dan Aqli dengan harapan mereka mendapat pendedahan awal mengenai USIM.

Disediakan oleh:
Amirul Afif Misnan
Sekretariat SekreFAST

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204