NILAI, 4 Ogos 2022- Najmi Adli Mustafa dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Deklamasi Sajak Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2022 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan.

Beliau yang merupakan penuntut tahun satu, program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan menganggap kemenangannya ini merupakan satu ‘kejutan’ buatnya kerana hampir kesemua peserta menampilkan persembahan yang baik. Lebih-lebih lagi penyertaan pertandingan sajak di peringkat daerah yang diadakan pada bulan Julai baru-baru adalah penyertaannya pada saat akhir kerana beliau sedang menghadapi peperiksaan semester. Najmi tidak menyangka bahawa penyertaan tersebut membawa tuah sekali gus  meraih Johan dan mewakili daerah Jempol ke peringkat Negeri Sembilan.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed menyifatkan bahawa penyertaan mahasiswa USIM ke pertandingan ini sebagai satu lonjakan semangat untuk mereka terus aktif dalam penganjuran program dalam dan luar Universiti di samping proses mengembangkan bakat mereka”.

Pertandingan ini menyaksikan 13 peserta mewakili tujuh daerah Negeri Sembilan dengan penyertaan 6 dari kategori dewasa dan 7 dari kategori remaja.

Penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun pada Pertandingan Akhir Koir Antara Jabatan Negeri Sembilan di Allson Klana Resort, Seremban.  Pada majlis yang sama, Najmi turut mendeklamasikan sajak Aduhai Negaraku Permai karya Abdul Hadi Yusof.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan