NILAI, 23 September 2020 – Universiti Sains Islam Malaysia saban tahun tidak terlepas menganjurkan acara rasmi tahunan iaitu Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi  (AKI) USIM. Bagi meraikan penerima-penerima anugerah bagi tahun 2019, majlis ini diadakan pada petang ini 23 September 2020 berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM. Majlis ini program yang mana julung kalinya penganjuran majlis diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. Justeru, USIM tidak terkecuali dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard terhadap pengurusan majlis sebagaimana yang ditetapkan Kerajaan.

Seramai 132 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 22 kategori Anugerah Khas dan 120 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Setia telah menerima anugerah di AKI bagi tahun 2019. Manakala Anugerah Tertinggi iaitu Anugerah Tokoh Akademik (Hasanul Mudir) dinobatkan kepada Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Profesor Madya Fakulti Syariah dan Undang-undang juga seorang personaliti di kaca TV dan media elektronik. Beliau mendapat pengiktirafan ini di atas kecemerlangan, pencapaian serta sumbangan beliau yang terserlah dalam pelbagai bidang pembangunan akademik dan juga ummah.

Bagi Anugerah Naib Canselor dianugerahkan kepada Pusat Jaminan Kualiti, Dasar dan Kecemerlangan Akademik, Anugerah Fakulti Cemerlang dianugerahkan kepada Fakulti Syariah dan Undang-undang, dan Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan /  Pusat Pembelajaran Cemerlang dianugerahkan kepada International Fatwa dan Halal Centre.

 Majlis ini diterajui sepenuhnya di bawah Jabatan Pendaftar dengan kerjasama pelbagai Pusat Tanggungjawab di USIM antaranya Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Pusat Komunikasi Strategik, Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan, Pusat Kebudayaan, Jabatan Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti, Pejabat Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dan Pusat Islam. Komitmen yang diberikan semua pihak ini adalah untuk memastikan majlis dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai objektif yang ditetapkan. Majlis ini secara simboliknya diadakan untuk memberikan penghargaan kepada Pusat Tanggungjawab dan staf atas kecemerlangan pencapaian dan kecemerlangan prestasi pada tahun penilaian semasa.

Prof Dr. Mohamed Ridza Wahiddin Naib Canselor USIM dalam ucapannya berkata, sumber manusia merupakan satu keperluan dan keutamaan kepada sesebuah organisasi. Kepakaran dan kemahiran amat didambakan untuk melahirkan sebuah organisasi yang cemerlang. Kualiti kerja amat dititikberatkan di dalam pengurusan organisasi kerana kerja yang berkualiti merupakan matlamat utama dalam pekerjaan. Kualiti kerja dari perspektif Islam adalah amalan bekerja menurut nilai dan prinsip yang digariskan untuk menghasilkan kerja yang berkesan dan bermutu tinggi.

Manakala menurut Encik Nasrul Hakim Ahmad, Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar, USIM selaku Pengerusi program, mengharapkan program seumpama ini dapat menyuntik semangat dan motivasi kepada warga USIM untuk bersama-sama membudayakan kecemerlangan di tempat kerja dengan mengamalkan sifat kebersamaan dan muafakat untuk mencapai aspirasi yang dirancang Universiti,”.

Majlis anugerah kali ini turut menyaksikan persembahan Koir Kemerdekaan dan penyampaian hadiah Hari Kualiti dan Inovasi Tahun 2020. Turut hadir ke majlis ini Pengerusi Lembaga Pengarah USIM Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan