NILAI, 14 Mei 2018 – Dalam melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang cakna tentang orang kelainan upaya (OKU) cacat pendengaran, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjalankan sebuah kursus yang dinamakan Kursus Dakwah Tanpa Suara tahap 1 dan 2.

Bersempena dengan itu, Majlis Graduasi anjuran Sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF@USIM) dengan kerjasama Yayasan FAQEH, Ibnu Ummi Maktum Research Centre (UMMI) dan FAQEH Training and Consultancy (FTC) dilaksanakan bagi meraikan mahasiswa/i yang berjaya menamatkan kursus ini sepanjang satu sem bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.

Majlis ini merupakan salah satu inisiatif SaF@USIM untuk memberi penganugerahan kepada semua peserta yang berjaya menamatkan kursus dengan jayanya selain memupuk semangat tolong-menolong dalam kalangan mahasiswa/i USIM bagi melahirkan generasi yang mempunyai sikap bertimbang rasa dan bebas dari nilai-nilai kapitalis. Pada masa yang sama, membuka minda mahasiswa/i USIM berkaitan OKU dari segi pendengaran untuk bersama-sama menebarkan ilmu berlandaskan naqli dan aqli ke seluruh alam.

”Kami sangat berbangga dengan kejayaan para mahasiswa/i yang telah mengikuti kursus ini sepanjang satu sem tanpa rasa jemu dan lelah. Mereka sanggup belajar sesuatu yang baru yang bukanlah merupakan subjek wajib universiti mahupun ko-kurikulum. Sebagai jemputan yang sering bekerjasama dengan pihak penganjur, kami berharap agar program seperti ini dapat diteruskan bagi memberi kesedaran kepada mahasiswa/i untuk sentiasa cakna terhadap OKU dan menyokong usaha mereka untuk berdakwah kepada golongan ini,” ucap Hj Norakyairee Bin Hj Mohd Raus, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.

”Diharapkan program ini dapat memberi kesedaran kepada mahasiswa/i USIM untuk terus peka dan cakna dengan isu berkaitan golongan OKU kerana mereka amat memerlukan pembimbing untuk memberi tunjuk ajar terutamanya berkaitan agama. Harapan kami agar mahasiswa/i yang berjaya menamatkan Kursus Dakwah Tanpa Suara tahap 1 dan 2 ini untuk terus istiqamah dalam mempelajari bahasa isyarat dan dapat memberikan khidmat buat mereka yang memerlukan di luar sana.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalank sempena majlis graduasi adalah pertandingan Kahoot Kursus Dakwah Tanpa Suara tahap 1 (KDTS1) bertempat di Dewan Kuliah Fakulti (DKF 2.2) FPQS dan Ujian Akhir KDTS1 bertempat di Bilik Kuliah (BK3.2) FPQS di mana aktiviti-aktiviti ini adalah bagi menguji tahap kemahiran mahasiswa/i dalam berbahasa isyarat dan menguji sejauh mana pengetahuan mereka berkaitan orang kelainan upaya cacat pendengaran.

Disediakan oleh :
Wan Nur Farhah Binti Wan Mazlan
Setiausaha 1
Sekretariat Sahabat Faqeh USIM (SaF@USIM)