NILAI, 14 Februari 2018 – Seramai lebih 200 penulis dirai dalam satu Majlis Kalam Bitara anjuran Penerbit USIM  bagi menghargai para penulis-penulis buku dalam bentuk pembayaran royalti serta penyampaian beberapa Anugerah Penerbitan.

Pihak penganjur berusaha untuk menjayakan program ini melalui pemberian royalti kepada penulis-penulis buku USIM yang dicatatkan berjumlah RM 91,871.00 melalui penjualan buku pada tahun 2015 dan 2016. Beberapa anugerah juga turut disampaikan iaitu Anugerah Buku Terlaris dan Anugerah Penulis Aktif. Kedua-dua anugerah ini disampaikan dalam tiga kategori bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Pada majlis yang sama turut diadakan sesi Biar Buku Bicara bagi mempromosikan buku terbitan terbaharu Penerbit USIM.

Naib Canselor Prof Dato Dr Musa Ahmad turut melahirkan rasa bangga kerana Penerbit USIM telah berjaya menerbitkan lebih 600 judul buku dalam pelbagai genre, bahasa dan diedarkan bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.

”Majlis Kalam Bitara ini diadakan secara dwi tahunan bertujuan untuk menghargai para penulis USIM dalam menghasilkan karya ilmiah yang telah diterbitkan oleh Penerbit USIM. Di samping itu, majilis sebegini menggalakkan kumpulan penulis supaya dapat menghasilkan pelbagai karya ilmiah yang bermutu pada masa akan datang,” ujar Pn Hariza Mohd Yusof Ketua Bahagian Penerbit.

”Penerbit USIM mengharapkan agar majlis ini dapat menaikkan motivasi penulis USIM untuk menerbitkan lebih banyak lagi karya bersama Penerbit USIM serta dapat menghasilkan karya bermutu yang sesuai dengan pasaran semasa. Selain itu, diharapkan juga Kedai Buku Penerbit USIM dapat diperkenalkan kepada orang ramai terutamanya warga USIM, pengedar buku dan juga masyarakat,” tambahnya.

Pada majlis kali ini  Naib Canselor turut melancarkan Kedai Buku Penerbit USIM, kedai cenderamata Koperasi USIM dan pelancaran buku baharu terbitan 2017. Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Prof  Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abd Razak, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato Dr Roshada Hashim dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dato Dr Zulkiple Abd Ghani.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204