NILAI, 6 April 2021 – Seramai 2,686 graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang tertangguh majlis konvokesyen mereka pada tahun lalu kerana penularan pandemik COVID-19 akhirnya diraikan Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-18 bermula 6 hingga 18 April 2021. Dilaksanakan dalam 23 sesi sepanjang tempoh tersebut bertempat di Dewan Tuanku Canselor, majlis konvokesyen kali ini unik kerana dilaksanakan secara hibrid selari dengan norma baharu bersama pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan COVID-19.

Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-18 dimulakan dengan Majlis Pengisytiharan Konvokesyen pada 6 April 2021 yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, Canselor USIM. Pada majlis ini, DYMM Tuanku Canselor berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat dan anugerah kepada para graduan cemerlang. Para graduan pula akan menerima ijazah masing-masing secara berperingkat dalam Majlis Konvokesyen yang diaturkan secara temu janji mulai 7 hingga 18 April dengan jumlah kehadiran yang minima bagi setiap sesi yang ditetapkan dengan rakaman gambar graduan menerima skrol diambil menggunakan teknik skrin hijau.

Dua tokoh dalam lapangan masing-masing yang menerima Ijazah Kehormat ialah Dato’ Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Perubatan dan Hassan Scott Odierno pula dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Sains Aktuari. Dato’ Dr. Ahmad Faizal Mohd Predaus merupakan seorang doktor perubatan yang berjiwa kental dan amat prihatin terhadap masalah-masalah global d dunia dan aktiviti kemanusiaan. Beliau merupakan Pengerusi Professional in Humanitarian Action adn Protection (PHAP) juga Presiden Malaysian Medical Relief Society (MERCY). Hassan Scott Odierno seorang yang berjaya dalam bidang insurans dan takaful berkepakaran sebagai Penganalisis Aktuari dan banyak berkhidmat dan membina nama di banyak syarikat dan bank di seluruuh dunia. Beliau turut aktif dalam bidang kesukarelawanan salah satunya beliau membangunkan ”bank makanan” untuk rakyat Negeri Sembilan yang memerlukan.

Pada majlis yang sama, DYMM Tuanku Canselor menganugerahkan Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Wan Nur Ira Izyan Izani, graduan Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Nur Ain Hannani Hamid, graduan Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Bioteknologi Makanan) dari Fakulti Sains dan Teknologi.

Turut menerima anugerah dari DYMM Tuanku Canselor ialah Iskandar Zulkarnain Shamsul, graduan Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dari Fakulti Syariah dan Undang-undang dan Mohd Ilias M Shuhud, graduan Doktor Falsafah Sains dan Teknologi dari Fakulti Sains dan Teknologi dengan kedua-duanya menerima Anugerah Canselor. Dalam majlis konvokesyen kali ini juga diperkenalkan anugerah utama baharu iaitu Anugerah Lembaga Pengarah Universiti dengan penerima sulungnya ialah Raih Salsabila, graduan Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko dari Fakulti Sains dan Teknologi. Pingat Emas Naib Canselor dianugerahkan kepada Ahmad Anwaar Muhammad Saifullah yang merupakan graduan Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Majlis Konvokesyen kali ini turut meraikan 33 graduan sulung dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan iaitu Ijazah Sarjana Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian dan seorang graduan bagi Doktor Falsafah Undang-undang. Majlis Konvokesyen Ke-18 USIM mengangkat tema Sambutan 20 Tahun USIM iaitu ‘Berjasa, Berbudi Untuk Semua’ sebagai nilai yang ingin dikongsikan untuk dihayati oleh para graduan dalam Majlis Konvokesyen kali ini. Merupakan universiti Islam penuh pertama milik Kerajaan Malaysia yang ditubuhkan dengan nama awalnya Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), ia menyambut genap 20 tahun usianya pada 18 Jun 2020.

Sehingga ke Majlis Konvokesyen Ke-17 USIM, seramai 22,669 alumni dalam pelbagai bidang pengajian dan kepakaran telah dilahirkan dan mereka inilah yang menyambung legasi USIM untuk berjasa dan berbudi kepada ummah, agama dan negara. Sesungguhnya melahirkan graduan yang menyumbang kembali kepada ummah melalui ilmu pengetahuan dan didikan yang diterima sepanjang bergelar mahasiswa di USIM adalah ciri graduan unggul yang universiti ingin lahirkan.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan