NILAI, 13 April – Majlis Konvokesyen sememangnya dinantikan oleh para graduan kerana pada hari yang bersejarah ini mereka berpeluang untuk menyarung jubah konvokesyen dan merakamkan gambar kenangan bersama ibu-bapa dan ahli keluarga. Perasaan ini turut dirasai Nur Shima Sahimi, 24, graduan Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kali Ke-18 USIM baru-baru ini.

Pastinya menambah kenangan manis buat Nur Shima apabila menerima hadiah buah nanas daripadanya ibunya selepas majlis konvokesyennya berakhir pada Isnin. Bertugas kini sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta, kejutan dari ibunya itu walaupun melucukan tetapi menggembirakan hatinya kerana pemberian buah nanas tersebut sesuatu yang istimewa baginya selain bunga konvokesyen yang diterima.

“Buah nanas ini pada awalnya emak belikan untuk diberikan kepada kakak saya sebagai menu bahan masakan. Tapi kakak tak jadi gunakan buah nanas ini sebab masak menu yang lain. Tak mahu membazir, emak bawa buah nanas ini bersama ke majlis konvokesyen saya pada semalam (Isnin)”

“Selesai majlis di dalam dewan, emak minta saya ambilkan buah nanas tersebut dalam kereta dan berikan kepada saya. Sebagai kenangan, kakak yang turut bersama ambilkan gambar saya bersama buah nanas pemberian emak. Masa emak cakap nak beri buah nanas tu saya gelak sahaja ingatkan emak bergurau”

“Alhamdulillah, dapat juga dan rakan-rakan lain berkonvokesyen walaupuan tiada majlis seperti kebiasaannya. Saya rasa okay sahaja pelaksanaan majlis konvokesyen secara janji temu ini kerana ibu-bapa tidak perlu menunggu lama dan pelaksanaan setiap sidang tidak mengambil masa yang lama. Proses pengambilan gambar graduan menggunakan skrin hijau juga cepat dan tidak perlu bersesak-sesak” tambahnya.

Akibat penularan pandemik COVOD-19 pada tahun lalu, USIM menangguhkan pelaksanaan majlis konvokesyen yang kebiasaannya dilaksanakan pada bulan November ke tahun ini. Majlis Konvokesyen USIM dilaksanakan bermula 6 April lalu sehingga 18 April ini yang melibatkan 23 sidang secara keseluruhannya. Dilaksanakan secara janji temu, bilangan graduan dan ahli keluarga yang dibenarkan berada di dalam dewan dikecilkan sebagai langkah pencegahan jangkitan dan penularan COVID-19

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan

 

2021-04-13T20:57:49+08:00

Share This Story, Choose Your Platform!

Go to Top