Merujuk kepada berita yang disiarkan di dalam Berita Harian 28 Februari 2018 (Rabu) bertajuk “IPT, pensyarah dipantau elak sebar ideologi ekstremis”. Berita ini berkaitan pensyarah merekrut pelajar dan mempromosikan ideologi yang dipegang oleh kumpulan pengganas Daesh. Kenyataan ini dibuat oleh Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman.

Universiti mengambil serius pendedahan ini kerana USIM juga merupakan  sebuah institusi pendidikan tinggi. Langkah pencegahan awal sememangnya telah diambil sekian lama dengan mewujudkan tatakelola dan prosedur standard dalam urusan pengambilan pensyarah. Dalam hal ini, dua proses saringan perlu dilalui untuk memastikan individu yang diambil bekerja mempunyai latar belakang yang bersih iaitu bebas daripada sebarang sabitan jenayah serta mempunyai sahsiah diri yang baik.

Dua proses saringan atau tapisan yang dimaksudkan adalah (i) saringan pra pelantikan dan (ii) saringan selepas pelantikan. Saringan pra pelantikan melibatkan pemeriksaan ke atas profil diri calon di peringkat fakulti dan universiti.  Di peringkat fakulti, saringan dipengerusikan oleh dekan manakala di peringkat universiti, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) akan mempengerusikan Jawatankuasa Saringan Calon Pensyarah.

Selepas calon berjaya melepasi kedua-dua saringan ini, calon akan melalui ujian saringan kakitangan yang dilaksanakan secara atas talian. Hanya calon yang melepasi ujian saringan peringkat fakulti, peringkat universiti dan ujian secara atas talian dipanggil untuk melalui proses temuduga – iaitu salah satu bentuk semakan latar calon secara bersemuka.

Manakala, pada peringkat saringan selepas pelantikan, butir diri pensyarah baharu akan dikemukakan ke Bahagian Tapisan Keselamatan, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia untuk melalui proses Tapisan Kasar dan Tapisan Halus.

Selain daripada dua proses saringan yang dinyatakan di atas, bagi pelantikan calon-calon daripada negara yang diketahui mempunyai isu dalaman bersabit kegiatan pengganas, pihak USIM akan memberi perhatian yang lebih serius dalam proses pelantikan termasuklah dibincangkan secara terperinci termasuk mendapatkan pandangan daripada pihak berautoriti seperti Wisma Putra dan PDRM.

Unit Risikan dan Siasatan, Jabatan Keselamatan USIM yang akan memantau aktiviti pelajar terutamanya yang melibatkan orang luar bagi memastikan aktiviti berkenaan bebas daripada sebarang pengaruh pengganas.  Kakitangan USIM dari semasa ke semasa adalah tertakluk sepenuhnya kepada peraturan-peraturan dalaman USIM dan negara. Ini termasuk bagi kakitangan yang berada di luar negara yang sedang bercuti belajar atau menjalani sabatikal dan seumpamanya.

Mana-mana perlakuan yang bercanggah dengan peraturan dalaman USIM dan negara, akan dibawa ke Lembaga Disiplin dan Tatatertib untuk menjalani proses siasatan. Justeru, USIM mengambil serius ke atas laporan yang disiarkan dan sentiasa memastikan pematuhan ke atas peraturan universiti dan negara dikuat kuasakan.

PROFESOR DATO’ DR. MUSA AHMAD
NAIB CANSELOR USIM
28 FEBRUARI 2018