Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dilantik Pro-Canselor USIM

NILAI, 11 Julai 2018 – Tun Dato Seri Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) oleh YB Menteri Pendidikan Malaysia untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 15 Julai 2018 hingga 14 Julai 2021.

Beliau yang merupakan mantan Ketua Hakim Negara (18 Oktober 2008 sehingga 9 September 2011) memiliki kelulusan undang-undang dari Lincoln’s Inn London dan Barrister-at-Law (1969). Berpengalaman luas dalam bidang undang-undang di sektor kerajaan dan swasta, beliau memulakan kerjaya di Jabatan Peguam Negara dan berkhidmat di sana selama 15 tahun dengan pelbagai jawatan sebelum memulakan karier sebagai peguambela dan peguamcara di salah sebuah firma guaman terkemuka di Kuala Lumpur.

Dengan pengalaman perkhidmatan yang luas selama 37 tahun dalam bidang undang-undang, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 2007 dan diikuti  sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada tahun yang sama sebelum menjawat jawatan tertinggi sebagai Ketua Hakim Negara.

Selepas bersara, Tun Zaki Azmi tetap aktif mencurahkan bakti dan perkhidmatan kepada negara dan masyarakat dengan pelbagai peranan penting diperingkat nasional dan antarabangsa. Dalam arena pendidikan tinggi, beliau merupakan Canselor bagi Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Mahsa serta Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tun Zaki Azmi bukanlah tokoh yang asing bagi USIM kerana telah menyumbang pengalaman dan kepakarannya dalam pembangunan kurikulum program akademik di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) sejak 2011 apabila dilantik sebagai Profesor Adjung di fakulti berkenaan.

Beliau turut menjadi panel penasihat program Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang sewaktu lawatan pengiktirafan oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang pada November 2013 serta sering berkongsi idea melalui syarahan undang-undang kepada pelajar dan staf akademik FSU. Pada Majlis Konvokesyen kali Ke-13 USIM pada 2015, Tun Zaki Azmi telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Syariah dan Kehakiman sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau kepada institusi kehakiman dan undang-undang.

Pengurusan Universiti menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan dan ucapan penghargaan kepada Tun Zaki Azmi atas pelantikan ini dan menyakini ketokohan beliau akan melonjakkan lagi nama dan kecemerlangan USIM. Dengan pelantikan beliau ini, USIM kini mempunyai dua orang Pro-Canselor iaitu dan YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz dan Tun Zaki Azmi sendiri.

Majlis pengisytiharan pelantikan beliau sebagai Pro-Canselor USIM dijangka akan disempurnakan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor USIM pada November ini sempena Majlis Konvokesyen USIM ke-16.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032

 

 

 

 

2018-07-23T10:08:57+00:00