NILAI – Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (MAPAN) akan bekerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi menjalankan penyelidikan berhubung kesesuaian penggunaan al-Quran digital di sekolah.

Penasihat Kehormat MAPAN, Mohd. Nizar Mohd. Najib berkata, inisiatif itu merupakan langkah inovatif dalam usaha menambah keberkesanan terhadap kaedah pengajaran serta pembelajaran al-Quran khususnya di sekolah.

“Penyelidikan ini dijalankan khusus bagi mengkaji sama ada ia menjadi keperluan dan tuntutan pendidikan dalam era digital masa kini.

“Kajian impak pengunaan al-Quran digital yang dijalankan oleh Institut Kefahaman Quran dan Sunah (IQ) USIM dengan kerjasama MAPAN ini akan dimulakan melibatkan sekolah rendah di sekitar kawasan Parlimen Pekan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Nizar berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemeteraian Perjanjian Penyelidikan antara USIM dan MAPAN yang diadakan di USIM.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda dan Presiden MAPAN, Sulaiman Ahmad.

Beliau yang juga anak kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak menjelaskan, usaha tersebut akan menjadi kajian rintis sebelum dikembangkan ke kawasan-kawasan lain.

“Hasil serta impak dari kajian ini nanti merupakan ukuran bagi menentukan pelaksanaan penggunaan al-Quran digital wajar dijadikan sebagai alat bantu mengajar dan belajar di sekolah terutamanya di sekolah-sekolah rendah Kementerian Pelajaran.

“Sekiranya impak kajian ini positif, MAPAN akan mengemukakan cadangan kepada kementerian sebelum ia diterima untuk diaplikasikan sebagai teks pendidikan di sekolah,” ujarnya.

Tambah beliau, secara amnya, usaha tersebut seiring dengan pembangunan teknologi digital masa kini ke arah menarik dan memupuk minat murid-murid untuk meningkatkan penguasaan ilmu dan pembudayaan pembacaan al-Quran.

Sumber: Utusan Malaysia, 14 September 2012