SEREMBAN, 22 Oktober 2019 – Seminar on Marital and Sexuality Counseling (MASEC 2019) yang berlangsung dua hari bermula bermatlamat memberi pengetahuan dalam isu-isu terkini berkaitan perkahwinan dan keluarga dan keibubapaan kepada para pengamal profesional dalam menjalankan sesi kaunseling perkahwinan dan keluarga.
MASEC 2019 yang diterajui oleh Unit Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan program tahunan dengan penganjuran bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan.
Pengerusi LPPKN yang hadir merasmikan majlis, Datuk Dr Narimah Awin berkata sebanyak 53,666 sesi kaunseling secara individu dan kelompok telah dijalankan oleh Pegawai Psikologi dan Kaunselor LPPKN yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.
“Peranan kaunselor dan perkhidmatan kaunseling perlu dilihat sebagai keperluan penting dalam situasi masyarakat kini yang berhadapan dengan pelbagai tekanan hidup,” ucapnya.
”Seminar ini sememangnya bertepatan dengan kehendak dan keperluan dalam melahirkan kaunselor profesional yang benar-benar bersedia untuk membantu klien-klien dari pelbagai sudut dalam hal ehwal keluarga dan rumahtangga yang semakin kompleks dewasa ini. Diharapkan seminar ini dapat merapatkan jurang antara masyarakat awam dan para pengamal profesional dalam menyelesaikan isu-isu keluarga dan seksualiti,” ujar Dr. Mohd. Khairul Anuar Rahimi, Pengarah MASEC 2019.
Pada program yang sama, turut dilancarkan Saadah Centre yang ditubuhkan oleh Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM bagi memperkasa komuniti setempat bersandarkan pendekatan kaunseling dan kerohanian.
Seramai 250 peserta MASEC 2019 yang terdiri dari kalangan pelajar kaunseling, kaunselor, pegawai psikologi dan kakitangan yang terlibat dengan institusi keluarga dan perkahwinan mengikuti beberapa pembentangan kertas kerja dan kajian kes yang berkisar mengenai isu-isu kekeluargaan dan seksualiti.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan