NILAI, 19 September 2019 –  Meningkatkan jalinan kerjasama dengan pelbagai industri di luar adalah satu keperluan bagi melihatkan keternampakan program pengajian yang ditawarkan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di mana ia merupakan aspek penting dalam memperkasa program latihan kepada siswa. Justeru, Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLMJI) menjemput Pengarah Urusan, McDonald’s Malaysia iaitu En Azmir Jaafar untuk mengadakan sesi perkongsian mengenai McDonald’s dengan menganjurkan Program Majlis Syarahan Umum Industri “Kenali McDonald’s Malaysia”.

Penolong Naib Canselor (Pengurusan Infrastruktur dan Perancangan Pembangunan) USIM, PM Dr Asmaddy Haris berkata pendedahan bersama pihak industri menerusi program sebegini sebenarnya membuka mata kepada pelajar dan juga staff USIM itu sendiri untuk mendengar sendiri taklimat dari pihak industri.

“Ini adalah salah satu platform USIM untuk memperkenalkan mahasiswa USIM dengan dunia luar selepas mereka menamatkan pengajian kelak. Pihak USIM juga akan mengenalpasti lebih banyak ruang dan meneroka peluang dan potensi bersama McDonald’s dan industri yang lain,” katanya.

Menurut En Azmir, sesi perkongsian ini sebenarnya memberi peluang kepada para pelajar untuk bertanya secara langsung dan mengenali McDonald’s dengan lebih dekat lagi. Selain itu, program ini juga meningkatkan keyakinan kepada para pelajar terhadap penjenamaan McDonald’s berhubung pelbagai isu yang dikaitkan dengan McDonald’s.

Mengulas lanjut, En Azmir berkata McDonald’s sebenarnya banyak membuka peluang pekerjaan kepada semua golongan. Beliau berkata kebanyakan para graduan yang pernah ditemubual lemah di dalam kemahiran berkomunikasi. Justeru, program sebegini dapat memberi pendedahan awal kepada para pelajar untuk mempersiapkan diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Selain itu, Dr Mohd Mahyeddin Mohd Salleh, Pensyarah dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang turut menzahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan McDonald’s melalui Program 3U1I dengan menjadikan McDonald’s sebagai salah satu tempat menjalani latihan praktikal dalam bidang halal, khususnya kepada para pelajar yang menuntut dalam program Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) di USIM.

Selain pelajar, majlis ini juga turut dihadiri oleh para Ketua Jabatan, pensyarah dan kakitangan USIM. En Azmir yang merupakan CEO Faculty USIM turut meraikan pelajar dengan mengedarkan 400 makanan dan minuman percuma kepada semua yang hadir.

Disediakan oleh :
Dr. Fauziah Hassan
Strategic Communication Centre (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan