NILAI, 27 Februari 2019 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan mengambil langkah lebih proaktif dalam menjayakan agenda ‘Universiti untuk Masyarakat’ seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di dalam amanat Menteri Pendidikan pada awal Januari lalu.

“Slogan ‘Sekolah untuk Komuniti, Universiti untuk Masyarakat’ dilihat sangat releven dengan USIM serta pembawakan USIM selama ini”. Itulah antara penyampaian yang tersirat dalam ucapan amanat oleh Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato’ Dr Musa Ahmad yang berlangsung pada 22 Februari lalu bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Bertemakan “Memaknakan Gelombang Barakah”, pendekatan amanat Naib Canselor kali ini dibentangkan lebih padat namun menyeluruh untuk mudah difahami dan dihayati oleh warga USIM secara serta rakan industri yang hadir. Kira-kira seramai lebih 1,500 tetamu hadir tanda mengambil cakna aspirasi Pengurusan Tertinggi demi kemajuan USIM.

Intipati amanat yang disampaikan merangkumi tiga segmen iaitu (i) sorotan pencapaian USIM sepanjang 2018 sebagai mengimbau kejayaan-kejayaan besar warganya yang telah mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ini akan diikuti dengan segmen kedua (ii) mengenai peranan USIM dalam merealisasikan hala tuju Pendidikan Tinggi seterusnya (iii) pelan tindakan USIM untuk mencapai hala tuju USIM 2025 dalam mencapai aspirasi Universiti Rujukan Global bagi Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli.

Naib Canselor berkata, bagi tahun 2019 dalam menjayakan agenda ‘Universiti untuk Masyarakat’ USIM mengambil pendekatan memperkasakan jalinan dengan menyantuni komuniti OKU melalui pembangunan polisi OKU dan penubuhan Hab Integrasi Pendidikan Quran bagi OKU Ibnu Ummi Maktum. USIM sebelum ini tidak pernah mengabaikan untuk menghargai bakat OKU apabila pernah menjayakan program OKU Berdoa ”Bicara Tanpa Hijab” selain takbir Aidilfitri disampaikan bersama pergerakan bahasa isyarat.

“USIM sememangnya telah menjayakan agenda tersebut antaranya bersama komuniti penagih dadah, komuniti kanak-kanak penghidap kanser manakala jelajah sukarelawan USIM pada 2018 telah mencecah 50 kawasan di Negeri Sembilan. Sementara itu, melalui Global Islamic Student Outreach (GISO), USIM menjalankan aktiviti bantuan misi kemanusiaan dan aktiviti ibadah korban. Tidak ketinggalan menyantuni komuniti sukan, pelbagai fasiliti yang terdapat di Pusat Sukan USIM menjadi lokasi tumpuan pasukan bola sepak negara menjalani latihan antaranya seperti pasukan MIFA dan perlawanan persahabatan antarabangsa U16 AFC,” ucapnya.

Tambahnya lagi, USIM juga pernah mendekati masyarakat orang asli malah USIM sendiri dan telah memiliki Kampung Angkat dan terdapat penduduknya yang memeluk Islam berkat aktiviti dakwah yang dijalankan pasukan USIM.

“Dalam memaknakan Barakah, USIM telahpun melaksanakan satu instrumen, Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli untuk mendukung aspirasi USIM dan kementerian. Kita menyimpan hasrat supaya Model GIINA ini akan dijadikan contoh instrumen pengukuran graduan yang holistik, seimbang dan berkeusahawanan. Kita mengimpikan satu hari nanti graduan USIM akan berada di serata pelosok dunia dan dapat memberikan impak kepada masyarakat global,” ucapnya.

Selain itu, pendekatan mewujudkan Kampus Barakah adalah dengan menyuburkan dan mengimarahkan budaya IQRA’ serta memperkukuh dan menginovasi program akademik berteraskan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli.

“Ia termasuklah penawaran 10 program akademik baharu bermula Semester 1 Sesi 2019/2020 peringkat Sarjana Muda dan Pasca Siswazah iaitu Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam dengan Kepujian, Sarjana Bahasa Arab (Kesusasteraan Islam), Sarjana Bahasa Arab (Terjemahan), Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Perdagangan (Kepujian), Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian, Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) dengan Kepujian, Sarjana Undang-Undang (Undang-Undang Antarabangsa),Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, Sarjana Sains Kejuruteraan dan Doktor Falsafah Kejuruteraan,” ucapnya.

Sementara itu, selaras dengan komitmen untuk mengembalikan tradisi keilmuan Islam bersesuaian dengan persekitaran dan teknologi terkini, USIM di bawah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inocasi (PPPi) telah mewujudkan USIM 2019 Grand Challenge yang merupakan inisiatif koheren bersama UN Sustainable Development Goals (SDGs) mengenengahkan 3 tema utama iaitu sustain humanity and sustain environment, promote well-being dan enrich communities and socities.

“Pada tahun ini juga USIM akan memberikan sokongan dalam bentuk latihan berfokus kepada pentadbir dan kemudahan geran penyelidikan kepada ahli akademik bagi membantu mereka memenuhi kriteria anugerah di peringkat kebangsaan,” tambahnya lagi.

“USIM juga akan memberi fokus kepada flagship programmes USIM yang akan menjadi showcase USIM untuk dimantapkan supaya dapat memberi impak kepada ummah dan manusia sejagat antaranya Ummi Maktum, GISO, Projek Mizan, Program Akademik-Madal Hayah, Iqra’@USIM dan Keusahawanan dan Kesukarelawanan untuk Masyarakat,” ucapnya.

“Sebagai universiti yang masih muda, USIM harus bersedia untuk kekal relevan pada masa sekarang dan akan datang. Untuk itu kita telah memulakan Foresight 2035, enam projek utama menjadi tunjang pelaksanaannya iaitu Projek Insani, Murabbi Laureate, Al-Jaziri Digital Al Platform Project, Islamic Foresight Team, Islamic Gain Project, Flexible Education sebagai asas yang kukuh bermula sekarang bagi mencapai Kampus Barakah,” tambahnya.

Ujarnya lagi, di bawah Reformasi Institusi, tiga jawatan utama dipersetujui atas kapasiti sebagai Penolong Naib Canselor Perancangan Pembangunan dan Infrastruktur, Penjanaan Pendapatan dan Pengantarabangsaan yang akan mula diisi pada 1 Mac nanti.

Rata-rata tetamu yang hadir berasa berpuas hati dengan penyampaian Amanat Naib Canselor tahun ini yang dilihat lebih mudah difahami dan dihayati merujuk kepada kandungan dan aspirasi yang disampaikan.

“Tahun ini saya kira semua warga akan bersedia mengorak langkah bersama-sama Pengurusan Tertinggi untuk menjadikan USIM Kampus Barakah realiti. InshaAllah seluruh warga USIM akan bersama menterjemahkan aspirasi amanat tersebut melalui pelaksanaan aktiviti dan usaha supaya misi, visi dan objektif tercapai dengan jayanya,” ucap Dr Nik Shafikudin, Pengarah Pusat Kesihatan Universiti.

Pada majlis yang sama turut diadakan Pelancaran Iqra’@USIM yang dijayakan oleh Perpustakaan USIM sebagai kesinambungan kempen Dekad Membaca Kebangsaan (DMK), Read@Uni oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Iqra’@USIM adalah inisiatif bagi mempergiatkan aktiviti galakan membaca dalam kalangan mahasiswa dan kakitangan di mana pada akhir majlis hadirin boleh saling bertukar buku.

Pada akhir majlis diadakan pengumuman dan penyampaian hadiah bagi program Biggest Loser Challenge anjuran Pusat Kesihatan Universiti Musim Kedua. Sementara itu, bertempat di lobi dewan, sebanyak 26 pempamer menyertai pameran oleh pelbagai jabatan, fakulti, Alumni USIM selain booth jualan. Turut disediakan tabung kutipan khas bagi Bantuan Bencana Tsunami Banten, Indonesia yang dijangka akan diserahkan oleh delegasi USIM pada Mac nanti.

Kehadiran tetamu lain antaranya Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Prof. Dato Dr. Siddiq Fadzil, Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Exco Jemaah Profesor, Dekan, Ketua Jabatan, rakan industri, kakitangan dan pelajar USIM.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032