BANGI, 7 Mac 2023 – Usaha bagi memperkasakan amalan Terapi Psikospisiritual dalam perawatan penyalahgunaan dadah melalui penganjuran Simposium Amalan Terbaik Perawatan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) Islam 2023 berjaya menghimpunkan seramai 150 peserta dari pelbagai latar belakang.

Majlis Perasmian penutup telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir Institut Latihan Islam Malaysia Bangi hari ini.

Simposium Amalan Terbaik PPDP ini merupakan satu platform menghimpunkan pengamal-pengamal Pusat Pemulihan Dadah berteraskan Psiko-Spiritual Islam, pengamal-pengamal kaunseling, pemimpin NGO-NGO, ahli-ahli akademik dan wakil-wakil daripada agensi kerajaan yang secara langsung dan tidak langsung  terbabit dalam rawatan dan pemulihan penyalahgunaan bahan dan dadah di Malaysia.

Objektif utama Simposium Amalan Terbaik PPDP adalah untuk memperkasa kaedah rawatan dan pemulihan berasaskan Islam yang sedang diamalkan di pusat-pusat khidmat nasihat dan rawatan penyalahgunaan dadah seluruh Malaysia.

Dalam ucapan YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, integrasi ilmu Naqli dan Aqli amat diperlukan dalam usaha membimbing, merawat dan memulihkan penyalahguna, pesakit dadah kerana ia dilihat dapat membantu transformasi diri dalam memahami tujuan kehidupan di dunia, peranan dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah.

“Pendekatan dalam rawatan dan pemulihan dadah perlu berasaskan pendekatan saintifik yang ditunjangi oleh ajaran agama Islam agar ia lebih strategik dan komprehensif dan melibatkan  semua lapisan masyarakat, dan agensi kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam seterusnya mencari kaedah rawatan yang terbaik atau best practices.”, ujarnya lagi.

Sementara itu, Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, penganjuran simposium ini diharapkan dapat menjadi perangsang kepada perkongsian idea dan amalan terbaik dalam usaha menawarkan rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah secara lebih berkesan dan holistik serta bermanfaat kepada ummah.

“Saya amat yakin semua peserta telah mendapat manfaat yang banyak daripada semua pengisian dan perkongsian yang telah berlangsung selama 2 hari ini. Saya juga amat mengharapkan semua pihak yang berkepentingan akan mampu menyediakan garis panduan/ manual yang menepati standard piawaian bagi pusat-pusat rawatan pemulihan dadah persendirian (PPDP) berasakan Islam di Malaysia dalam masa terdekat”, ujarnya lagi.

Simposium ini merupakan anjuran bersama anatara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Selangor, Asian Centre for Research on Drug Abuse (ACREDA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Malaysian Association of Drug Addiction Counselors (MADAC).

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan