NILAI, 1 Okt 2018 – Persiapan hampir dua tahun pasukan Rumah Solar Mizan (MizanHome) yang diterajui oleh Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk pertandingan Solar Decathlon Middle East (SDME) 2018 kini memasuki fasa akhir.

Selaku wakil tunggal negara ke pertandingan berprestij ini, kejayaan menyiapkan rumah solar MizanHome dalam skala sebenar ini adalah petunjuk bahawa pasukan ini telah bersedia untuk mempertaruhkan MizanHome di SDME 2018 yang akan berlangsung di Dubai pada November nanti.

Pada 2016, penganjur utama SDME 2018 iaitu Dubai Electricity and Water Authority (DEWA) telah mengumumkan USIM bersama 21 buah universiti lain dari 16 buah negara antaranya UAE, Australian, Taiwan, Pakistan, Itali dan Amerika Syarikat.

Justeru itu, mulai tahun 2016 lagi pasukan MizanHome yang menggabungkan kepakaran seni bina dan kejuruteraan USIM dan UTM mula bekerja bagi menghasilkan model rumah pintar yang beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga solar selain perlu disesuaikan untuk menghadapi cabaran musim panas, habuk dan kelembapan yang tinggi di Dubai. Ia memberi cabaran dan pengalaman baharu kepada pasukan MizanHome untuk menghasilkan rumah ini kerana ia harus menepati konsep ‘clean energy’ dan dilengkapi tekonologi terkini.

MizanHome yang dilancarkan secara rasmi pada hari ini oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Profesor Dato’ Dr. Roshada Hashim memberi peluang kepada warga kampus untuk melihat luaran dan dalaman rumah solar ini secara dekat. “Universiti ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan kuat yang kita terima dari Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), agensi kerajaan dan lebih 13 rakan industri yang menghulurkan bantuan untuk merealisasikan projek ini”.

SDME dianjurkan dengan matlamat utama untuk menyebar luaskan ilmu pengetahuan mengenai inovasi perumahan yang cekap tenaga dan mampan. Di Dubai nanti, rumah yang dipertandingkan akan dinilai dari aspek penilaian seni bina, kejuruteraan untuk kelestarian dan inovasi untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah AED 10 juta.

MizanHome yang siap dipasang ini adalah model rumah dalam skala sebenar yang akan di bawa ke SDME. Pemasangan MizanHome ini di Malaysia juga bertujuan untuk melakukan ujicuba dan pemeriksaan terakhir sebelum ia dibuka semula dan di pasang sekali lagi di Dubai.

 

Dsediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032