NILAI,12 Disember 2018 – Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) 17/18 disambut gilang gemilang bagi meraikan dan menghargai para pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dan pencapaian yang membanggakan dalam pelbagai aktiviti kemahasiswaan. Majlis yang berlangsung baru-baru ini di Dewan Tuanku Canselor ini merupakan penganjuran kali ke-10 sejak julung kali dianjurkan pada tahun 2009 .
Mendapat sambutan yang menggalakkan iaitu dari 62 pencalonan bagi merebut 15 anugerah melalui dua (2) kategori iaitu Kepimpinan dan Kesukarelawanan. Hasil daripada saringan yang telah dijalankan itu, sejumlah 14 calon individu telah terpilih untuk melalui peringkat temuduga dan main peranan (role play) sebagai persediaan ke Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2018 yang akan diadakan tidak lama lagi.
AKSIS 17/18 mengangkat Muhammad Mujahid Yusup, 24, dari Fakulti Quran dan Sunnah Darul Quran sebagai Tokoh AKSIS yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM1000.
Beliau turut memenangi Anugerah Tokoh Kesukarelawanan dan Anugerah Pemimpin Sukarelawan (Terbuka).
Anak ketiga dari enam beradik ini menyimpan hasrat dan cita-cita untuk menjadi pemimpin masyarakat, ingin mengikut jejak langkah Nabi SAW sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar, lembut sesama saudara dan ringan tulang membantu sesiapa sahaja.
”Matlamat saya adalah menggabungkan aspek Naqli dan Aqli dalam setiap aspek kehidupan baik dalam bidang kepimpnan, ekonomi, dan kehidupan bermasyarakat dengan memperkukuhkan institusi tahfiz dengan pengurusan berwibawa dan kurikulum Al-Quran dan akademik yang bersepadu”.
”Saya harap mampu untuk memandu masyarakat, seterusnya negara ke arah kehidupan harmoni dalam setiap peringkat dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang disebutkan dalam Al-Quran, Surah Saba’ sebagai negeri yang baik, aman dan makmur” ujar Mujahid.
YBhg. Profesor Dato’ Dr. Siddiq Hj. Fadzil, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM berkata, majlis seperti ini amatlah baik kerana selain daripada memberi pengiktirafan kepada pelajar yang cemerlang, ia turut berperanan menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk meningkatkan pencapaian masing-masing. Beliau yakin dan percaya bahawa mereka yang bakal diumumkan sebagai penerima anugerah sebentar lagi merupakan pelajar yang bermotivasi serta berdaya saing tinggi sehingga berjaya menempa kecemerlangan dalam aktiviti yang disertai.
“Pelajar seperti inilah yang selayaknya dijadikan contoh kerana mereka bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut menggunakan peluang semasa berada di menara gading untuk meningkatkan kemahiran insaniah melalui penyertaan dalam pelbagai aktiviti kemahasiswaan”, tambah beliau lagi semasa merasmikan majlis yang penuh gilang gemilang itu.
Pelbagai anugerah lain yang dipertandingkan Anugerah kategori Kepimpinan, Anugerah kategori Kesukarelawanan dan Anugerah ikon GIINA yang dimenangi oleh Mohd Aqil Irwan Abdul Mutalib Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Nur Aini Amalina Mazlan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Zalikha Zamarudin Fakulti Sains dan Teknologi (FST).
Pengiktirafan turut akan diberikan terhadap sumbangan yang diberikan oleh individu dan organisasi terhadap pembangunan pelajar di USIM melalui Anugerah Sumbangsih. Individu yang dimaksudkan adalah Tuan Ahmad Fedtri Yahya, Penerbit dan Pengacara di Media Prima Berhad. Sumbangan dan kerjasama yang telah diberikan oleh beliau amatlah besar kepada USIM.
Selain itu, USIM turut mengiktiraf sumbangan yang diberikan oleh Yayasan Faqeh dan Perfect Triangle yang telah banyak memberikan sumbangan menyediakan ruang kepada pelajar USIM untuk mengadakan pelbagai aktiviti yang semestinya bermanfaat dan sangat berguna kepada pelajar. Semoga kerjasama yang terjalin di antara USIM dan kedua pihak akan dapat diteruskan dengan jayanya untuk tahun-tahun yang akan datang.
Turut hadir memeriahkan majlis Prof Dato Dr Musa Ahmad Naib Canselor USIM, Prof. Dato Dr. Roshada Hashim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi dan Encik Nasrul Hakim Ahmad Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032