NILAI, 20 September 2017 – Mengambil inisiatif dan menzahirkan kepekaan serius dalam isu wakaf dan pembangunan ekonomi ummah di peringkat ASEAN dan global, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merealitikan Muktamar Waqf Iqlimi dengan tema ”Kelestarian Wakaf dan Kewangan Sosial Islam dalam Memperkasakan Pembangunan Ummah Global”.

Berlangsung selama dua hari bermula 19 September seminar ini diadakan untuk menyebarkan maklumat kepada pemilik taruh dengan menambahbaik pengurusan institusi wakaf dengan mewujudkan kelestarian wakaf, sebagai satu intrumen kewangan sosial Islam dalam memperkasakan pembangunan ummah global dan diluaskan di seluruh peringkat merangkumi aktiviti pengajaran, penyelidikan dan jaringan industri.

”Sebagai penganjur, kita mengharapkan program seperti ini boleh memperkukuhkan jaringan persaudaraan antara akademia dan industri berasaskan wakaf. Wakaf dan Kewangan Sosial Islam juga telah termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 di bawah lonjakan kelima (kemampanan kewangan) dalam kalangan sepuluh lonjakan yang digariskan dalam PPPM tersebut, rujuk (Ringkasan Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pendidikan Tinggi 2015 – 2025 : ms 21),” ujar Prof Madya Dr Fuadah Johari, Pengarah Muktamar Wakaf Iqlimi 2017 dan penyelaras Pusat Wakaf dan Zakat, USIM.

“Sebagai sebuah universiti yang mempelopori Sains Islam, kami merasakan adalah suatu kewajipan untuk menjayakan pengurusan pembiayaan wakaf supaya kepakaran yang ada di USIM dapat memberi manfaat kepada ummah dari segi pemantapan pendidikan dan juga membantu golongan masyarakat dari segi perubatan dan juga membangunkan sosio-ekonomi masyarakat melalui instrumen wakaf ini,” ucap YBhg Prof Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM.

Sesi pembentangan secara selari juga membawakan lebih 25 kertas kerja hasil penyelidikan dan isu-isu terkini selain turut mengadakan 2 sesi khas Focus Group Discussion yang akan diketuai oleh kumpulan penyelidikan geran FRGS yang dihadiri oleh pakar wakaf dari institusi-institusi wakaf di Malaysia.

Turut bekerjasama dalam penganjuran ini adalah Persatuan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA), Pusat Filantropfi dan Kewangan Sosial Islam (CIPSF), UiTM Melaka, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), UDA Waqf Sdn Bhd dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Disediakan oleh :
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204