PUTRAJAYA, 28 Sept – Malaysia telah dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran World Marketing Summit 2013 (WMS Malaysia 2013) bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 28 hingga 30 September 2013 yang bertemakan “Creating a Better World Through Marketing”.

Selain penganjuran program seminar, persidangan meja bulat, pembentangan kertas kerja dan ucaptama dari tokoh-tokoh akademik dan korporat ternama, WMS Malaysia 2013 turut menganjurkan Golden Star Academic & Educational Excellence Award 2013.

Pada majlis anugerah yang berlangsung pada 28 September ini, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dipilih sebagai salah seorang penerima bagi Anugerah Kepimpinan Pendidikan bersama para penerima lain dari 63 buah negara seperti Sweden, Turki, Namibia. Brunei, Oman, Indonesia, India, Taiwan, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mongolia.

Majlis yang dipengerusikan oleh Dr. R. L. Bhatia, Pengasas World CSR Day dan Pengerusi Global CMO Asia, bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada pencapaian individu dan organisasi  yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan pendidikan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Golden Star Academic & Educational Excellence Award, pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk dan menentukan halatuju destinasi sesebuah masyarakat dan negara pada masa hadapan. Justeru itu, kepentingan pendidikan perlu ditekankan sebaik-baiknya kepada golongan pelajar dan disinilah peranan pendidik amat diperlukan dan seterusnya dihargai.

Para penerima anugerah ini menurut Jawatankuasa Penganjur, merupakan warga pendidik yang telah memberi sumbangan besar dalam mengangkat nilai pendidikan di negara masing-masing. Para penerima anugerah termasuk Naib Canselor USIM terlebih dahulu telah dicalonkan oleh para profesional terpilih sebelum senarai ini disaring oleh barisan Juri berdasarkan beberapa kriteria utama, antaranya kecemerlangan akademik dan pengurusan, persepsi pelajar semasa, cadangan dari bekas pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang dan tinjauan di media perdana dan sosial.

Majlis penyampaian anugerah ini telah disempurnakan oleh Dr. Rashid Alleem, Pengarah Sharjah Free Zone Authority, UAE. Antara penerima yang turut diberi pengiktirafan pada majlis ini bersama YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail adalah Dr. David Namwandi, Menteri Pendidikan Namibia, Dr. Ali Al-Bemani, Naib Canselor Sultan Qaboos University (Oman), Dr. Mohamed Aggour, Pensyarah Pakar Kejuruteraan Petroleum, Texas A&M University (Qatar) dan Dr. Ashok Khosla, Pengerusi Developement Alternatives Group (India).

Pengiktirafan besar yang diterima oleh YBhg. Naib Canselor melalui Anugerah Kepimpinan Pendidikan ini merupakan anugerah antarabangsa terkini diterima oleh beliau selepas menerima Anugerah Doktor Kehormat Sains dari University of Glasgow, UK pada bulan Jun lalu.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm