NILAI – Atas dasar ilmu, profesional dan sikap rasional yang dimiliki oleh warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), satu persidangan meja bulat mengenai gerakan Ikhwan Muslimin telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) yang telah dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM.

Menurut Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, penganjuran forum ini adalah bertujuan untuk kita mengambil kira dan mengetahui tentang isu terkini yang berlaku di negara-negara Islam terutamanya di Mesir, katanya ketika ditemubual.

“Saya berharap agar forum ilmiah ini dapat menjadi persediaan kepada kita untuk menghadapi cabaran di masa akan datang agar menjadi umat Islam yang berjaya,” katanya yang turut menyuarakan  keberanian Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan atas penganjuran forum ini.

Persidangan meja bulat yang dihadiri oleh kakitangan akademik USIM dan para pelajar itu menjadi semakin rancak apabila pelbagai isu dan persoalan dilontarkan kepada ahli panel mengenai gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir dan kesannya kepada Malaysia.

Sebelum itu, satu pembentangan khas oleh setiap ahli panel yang dijemput telah diadakan bagi menerangkan tentang fenomena Arab Spring yang telah melanda negara-negara di Asia Barat di Bilik Tayangan DKF 1.2 (FKP).

Ahli panel yang telah dijemput ialah Profesor Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya; Profesor Dr. Badlihisham Mohd Nasir, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Dr. Salah Mohamed Zaki Mohamed Ibrahim, Pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM.

Majlis yang bermula pada jam 3.00 petang itu telah diakhiri dengan Majlis Tahlil dan Majlis Berbuka Puasa.