USIM, 18 April 2019 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini telah mengorak langkah berani untuk menerbitkan buku mewah ilmiah berdasarkan penyelidikan dan pengamatan ke atas haiwan invetebrata dan serangga yang jarang dipeduli di Taman Negeri Kenaboi, Negeri Sembilan, hasil kerjasama penyelidikan dan penerbitan dengan Jabatan Perhutanan Negeri.

Menurut Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Dr Musa Ahmad, kolaborasi bersama Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNNS) ini julung kali diadakan USIM dengan melibatkan kepakaran pensyarah USIM dan sumbangan kepakaran universiti lain dalam menerbitkan buku mewah ilmiah berkonsepkan kesepaduan ilmu Naqli dan Aqli. Ini kerana setiap makhluk yang dipaparkan dalam buku tersebut dengan kualiti makrofotografi profesional turut disertai dengan ayat-ayat Al-Quran yang menerangkan penciptaan haiwan tersebut untuk ditadabbur bersama oleh pembaca.

“Saya rasa buku ini akan berpotensi untuk dikembangkan di peringkat antarabangsa kerana buku ini ditulis dalam dwi bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Dato’ Musa juga berharap agar buku yang bakal dihasilkan ini akan berjaya memenangi Anugerah Buku Negara kerana kualiti penyelidikan yang dihasilkan dalam buku tersebut. Buku yang bakal diterbitkan pada Julai atau Ogos tahun ini, sememangnya menjadi satu penanda aras baharu USIM untuk lebih berkecimpung dalam aspek penyelidikan berkait sumber semulajadi khazanah alam kurniaan Allah yang sangat kaya di negara kita.

“Projek ini juga sebenarnya boleh mengubah perspesi masyarakat bahawa proses pembelajaran boleh berlaku dengan mengenali flora dan fauna di hutan dan sekaligus boleh mendidik generasi akan datang untuk cintakan kepelbagaian bio, warisan sumber alam semulajadi negara demi kelestarian,” katanya lagi.

Tuan Hj Salim Aman (JPNNS) berkata, buku ini diterbitkan untuk mempromosikan Taman Negeri Kenaboi ke peringkat antarabangsa dan memperkenalkan spesies-spesies haiwan yang unik. Menurutnya lagi, penerbitan buku ini juga memberi manfaat kepada semua pembaca untuk mengetahui dan mengetahui dengan lebih mendalam tentang serangga ataupun haiwan yang unik di Negeri Sembilan.

Selain itu, Naib Canselor USIM juga berharap agar kerjasama ini akan berterusan dengan pelbagai aktiviti dan projek yang dirancang seperti mengadakan ekspedisi sumber semulajadi hutan secara berkala, latihan bersama dengan lebih 40 buah sekolah angkat USIM melalui modul pendidikan tanggungjawab sebagai Khalifah di muka bumi yang disediakan oleh USIM, aktiviti kemasyarakatan di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah USIM dan sebagainya.

Dato Musa pada akhir pertemuan juga mengharapkan agar penerbitan buku ini menjadi titik tolak untuk membina kumpulan kepakaran di antara Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dan USIM dengan mengetengahkan konsep Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (INAQ).

Disediakan oleh:
Dr Fauziah Hasan
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan