NILAI, 19 April 2019– Seramai hampir 300 penduduk sekitar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terutama di kawasan Desa Anggerik, Desa Kasia, Anggerik Court dan kawasan sekitarnya telah bersama-sama meraikan Festival Luar Kampus (OneFest) yang dianjurkan oleh Out Campus Student Secretariat (OCSS) USIM yang bertempat di padang terbuka Desa Anggerik.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), USIM, Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, program sebegini menjadi satu penanda aras USIM untuk mempelbagaikan lebih banyak program bagi mengeratkan hubungan dengan masyarakat sekitar.

“Program sebegini membantu untuk membentuk peribadi pelajar USIM dan saya amat mengharapkan semua pelajar USIM dapat bersosialisasi dengan masyarakat selaras dengan konteks tema pendidikan negara tahun ini iaitu “Sekolah untuk Komuniti, Universiti untuk Masyarakat” yang mana merujuk kepada Universiti perlu lebih menjadikan masyarakat sebagai tempat pembelajaran, berkongsi ilmu, teknologi dan manfaat bahkan Universiti juga perlu belajar dengan masyarakat mengenai ilmu, warisan, hikmah dan sebagainya yang ada dalam masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sempena majlis penutup Festival Luar Kampus.

Selain itu katanya, program ini juga penting kerana pelajar dan warga USIM dapat menjayakan perpaduan nasional untuk membangunkan negara dengan mendedahkan pelajar mengenai konsep dan amalan perpaduan yang ada dalam masyarakat berbilang agama, bahasa dan kaum. Di samping itu, program ini juga memupuk kepada konsep kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat untuk aspek pencegahan jenayah, kelestarian alam, sayangi alam sekitar dan sebagainya. Selain kesukarelawanan, program ini juga memupuk semangat kejiranan dan secara tidak langsung memberi pendedahan kepada kira-kira 677 pelajar antarabangsa yang menyambung pengajian di USIM dan secara tidak langsung membantu mempromosi USIM dengan lebih meluas.

Sebenarnya pelajar USIM yang tinggal di luar kampus adalah lebih ramai berbanding pelajar yang menginap di dalam kolej kediaman dan ia mencecah sekitar 3000 pelajar yang menyewa di Desa Anggerik, katanya lagi.

“Oleh itu, dikesempatan ini, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penduduk terutama di Desa Anggerik, Desa Kasia dan lain-lain kerana sudi menerima anak-anak saya dari USIM untuk tinggal bersama dengan komuniti ini. Terima kasih juga kerana sudi menjadi mata dan telinga kepada kami untuk menjaga anak-anak USIM ini,” katanya.

YB Arul Kumar A/L Jambunathan, Exco Adun Nilai yang turut dijemput untuk merasmikan festival berkenaan mengharapkan agar semangat kejiranan akan terus dipupuk untuk meningkatkan komitmen, kesepaduan dan keharmonian antara masyarakat adalah penting. Penganjuran festival ini mampu meningkatkan semangat kerjasama dalam sesebuah organisasi yang akan meningkatkan potensi kecemerlangan jika warganya mampu mengekalkan sikap kebersamaan dan muafakat dalam mencapai sesuatu aspirasi atau agenda.

“Festival ini juga memupuk sifat keprihatinan kepada masyarakat dan menyahut tema kemerdekaan pada tahun lalu iaitu untuk menzahirkan rasa cinta dan dimanifestasikan melalui pengukuhan perpaduan antara satu sama lain dan nilai patriotisme,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Pengetua Kolej Kediaman Luar Kampus, En Hammad Farhi Mohd Saudi berkata, program festival bersama penduduk sekitar USIM ini adalah kali pertama dianjurkan dan ia melibatkan beberapa jemputan luar seperti beberapa agensi kerjaaan seperti Balai Bomba Nilai, Balai Polis Nilai, Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Nilai dan Persatuan Penduduk.

USIM adalah universiti yang berhampiran dengan kawasan sekitarnya terutama di Desa Anggerik, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa bersama Komuniti Universiti mengambil tanggungjawab untuk memastikan USIM mempunyai hubungan baik dengan semua penduduk di sekitar USIM. Melalui program sebegini, warga USIM berpeluang untuk berdialog dan berbincang dengan masyarakat.

“Warga masyarakat sekitar USIM sebenarnya sangat gembira dan berbesar hati dengan program-program yang USIM jalankan kerana dapat meningkatkan engagement dengan masyarakat. Selain itu, saya juga menerima maklum balas positif tentang pelajar USIM yang tinggal di sekitar sini yang mana mereka gembira apabila ada pelajar yang ringan tulang, sentiasa bertegur sapa dan aktif dalam kerja-kerja amal di surau dan masjid,” katanya lagi.

Antara program-program yang dijalankan ialah senamrobik, sukaneka, cabutan bertuah, demonstrasi pencegahan jenayah, demonstrasi pemadaman api, pemeriksaan kesihatan, e-sport dan sebagainya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran penyanyi tanahair terkenal iaitu Syafiq Farhain yang telah menyampaikan tiga buah lagu.

 

Disediakan oleh:
Dr Fauziah Hasan
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032