NILAI, 14 Disember 2019 – Bertemakan ’Bicara Tanpa Hijab’, OKU Berdoa 5.0 menampilkan variasi persembahan komuniti istimewa dalam memaknai sambutan Hari OKU Sedunia yang disambut pada  3 Disember setiap tahun.

Bertempat di Dewan Tuanku Canselor dengan kehadiran seramai lebih 1000 tetamu. Program ini merupakan anjuran Sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF@USIM), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Institut Sains Islam USIM dengan kerjasama Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH).

Profesor Dr. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif, Dekan FPQS berkata, program ini merupakan kemuncak aktiviti- aktiviti Sekretariat Sahabat FAQEH USIM sempena sambutan hari OKU sedunia pada 3 Disember setiap tahun. Ia menjadi penanda aras bagi menzahirkan kemampuan mahasiswa Pengajian Islam dalam memberi khidmat yang terbaik terhadap masyarakat dalam masa yang sama, kemahiran dan latihan yang diperolehi ini menjadikan nilai tambah kepada mahasiswa USIM dan persediaan bagi menempuh medan dakwah yang  sebenar apabila  mereka  bergraduasi nanti.

“Program unik anjuran mahasiswa USIM yang dikenali sebagai Sekratariat Sahabat FAQEH USIM ini dilatih khas oleh Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH), iaitu NGO Islam yang bergiat aktif dalam usaha Dakwah OKU dan model kelas agama anak istimewa. Antara modul mahasiswa cakna OKU yang ditawarkan adalah Bengkel Pengurusan Organisasi, Jom Dhuha Anak Istimewa, Simposium Khidmat Quran Sunnah bagi OKU (SiQaH), Hari Menyantuni OKU, Kem Huffaz Remaja Pekak, Kursus Dakwah Tanpa Suara, Kem Pemantapan Ibadah OKU Pekak, Bengkel Quran OKU Pekak dan diakhiri dengan kemuncak program iaitu OKU Berdoa: Bicara Tanpa Hijab” jelasnya lagi.

Bagi Dr Norakyairee Md Raus Pengarah UMMI pula, antara objektif penganjuran program ini adalah bagi memperkasa peranan dan sumbangan masyarakat dalam meningkatkan pengetahuan dan memberi sokongan khususnya institusi-institusi agama dalam menawarkan ruang dan peluang OKU dididik menerima agama berasaskan kekuatan dan kelainan upaya belajar mereka selain mengupayakan komuniti OKU dengan pendedahan budaya beragama dan rutin bersyariat serta mencungkil bakat mereka dalam menghayati konsep indahnya hidup beragama.

“Usaha ini juga bertujuan mengembalikan siri santunan Rasulullah SAW terhadap komuniti OKU melalui pemerkasaan peranan masyarakat khususnya generasi muda dalam kalangan mahasiswa dan pengupayaan OKU untuk sama-sama menyumbang terhadap pembangunan Negara”, tambahnya lagi.

Turut hadir Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin   Naib Canselor USIM, Sahibus Samahah Dato’ Hj Mohd Yusof Hj Ahmad Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Hajjah Mumtaz md Nawi Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan. Majlis turut diserikan dengan persembahan dari kumpulan Nasyid Tanpa Suara Saf al-Isharah dan artis jemputan  Lah Ahmad.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan