Pakar Kewangan Islam dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Baharu USIM

NILAI, 25 Jun 2018 – Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang merupakan pakar dalam bidang kewangan Islam iaitu Profesor Dr. Abdul Rahim Abd Rahman dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) baharu USIM. Pelantikan beliau dibuat oleh Menteri Pendidikan bagi tempoh tiga tahun iaitu bermula 15 Jun 2018 hingga 14 Jun 2021 menggantikan Profesor Dato’ Dr. Zulkiple Abdul Ghani yang telah tamat lantikan.

Satu majlis ringkas merakam waktu masuk rasmi sebagai Timbalan Naib Canselor baharu telah diadakan pada pagi ini di lobi Canselori USIM dengan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Profesor Tan Sri Dato Dzulkifli Abdul Razak; Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad; Pengurusan Kanan dan kakitangan Canselori.

Profesor Dr. Abdul Rahim memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan dari University of East London (1990) sebelum menamatkan pendidikan Sarjana dalam Kewangan Islam (1994) dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perakaunan (1999) dari University of Southamptom (UK).

Kerjayanya sebagai ahli akademik bermula dan berkembang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia apabila berkhidmat di sana hampir 21 tahun sejak 1992. Lembaran dan cabaran baru diterokainya apabila berhijrah ke USIM pada 2014 dan tidak lama selepas itu, beliau diberi kepercayaan sebagai Pengarah Pusat Perancangan Korporat dan Pengurusan Kualiti (2015-2017). Melalui pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pengurusan pendidikan tinggi, beliau secara aktif terlibat dalam merangka dan memantapkan pelaksanaan Pelan Strategik USIM.

Sebagai ahli akademik, kepakarannya dalam bidang ekonomi, kewangan Islam, perakaunan, audit shari’ah dan pentadbiran korporat dimanfaatkan dengan penulisan pelbagai jenis buku, jurnal pendidikan dan penulisan bab dalam buku selain menjadi pembentang dalam dan luar negara. Kepakarannya turut mendapat pengiktirafan oleh industri apabila dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dan penasihat syari’ah beberapa institusi kewangan antaranya seperti Etiqa Famili Takaful, Etiqa General Takaful, MBSB Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia dan HSBC Amanah Malaysia. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut melantiknya sebagai panel pakar rujuk Muamalat serta turut terlibat dalam akreditasi kualiti program akademik bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

USIM amat meraikan pelantikan beliau ke jawatan ini oleh Menteri Pendidikan kerana dengan kebolehan, kepakaran, pengalaman dan jalinan strategik yang dimiliki akan membawa Universiti ini terus cemerlang dan tersohor dalam pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli. Universiti turut merakamkan perhargaan dan terima kasih kepada Profesor Dato’ Dr. Zulkiple Abd Ghani atas khidmat dan baktinya sebelum ini khususnya dalam memantapkan kualiti program akademik yang diawarkan.

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032

2018-06-25T12:03:45+00:00