TAMPIN, 5 OKTOBER  – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak ketinggalan dalam meraikan Hari Penglihatan Sedunia 2018 dengan penglibatan pakar matanya dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dalam Program Kem Katarak Kementerian Kesihatan Malaysia (KK-KKM) bertempat di Hospital Tampin, Negeri Sembilan. Program anjuran Jabatan Oftalmologi Kluster Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah berlangsung selama tiga hari bermula pada Selasa lalu hingga semalam (2 hingga 4 Oktober 2018). Seramai empat orang pakar mata USIM menyumbang kepakaran mereka sepanjang Kem Katarak ini yang turut mendapat kerjasama Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Menurut Dr Azlina Mokhtar, pensyarah perubatan USIM yang terlibat dalam program ini menyatakan penglibatan pakar USIM adalah sebagai tanda sokongan kepada usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengurangkan kadar kebutaan yang disebabkan katarak melalui pembedahan dan menawarkan perkhidmatan kanta intraocular percuma kepada pesakit ini. Kemudahan ini memfokuskan kepada masyarakat luar bandar dan tidak berkemampuan seperti para penerima kanta intraocular ini adalah hasil sumbangan Bank Kanta Intraocular Kebangsaan (BKIOK).

“Hospital Tampin dipilih sebagai lokasi program kerana hospital ini telah diberi peranan oleh KKM sebagai Pusat Pembedahan Katarak  di bawah Program Klinik Katarak Kementerian Kesihatan Malaysia. Kita bersama penganjur meletakkan sasaran awal seramai 25 hingga 27 orang pesakit dapat kita rawat dan hasilnya kita terima dan rawat 78 pesakit selama tiga hari program ini berjalan”.

“Kita mempunyai hubungan erat dengan Jabatan Oftalmologi HTAN selama ini kerana di USIM melalui Jabatan Oftalmologi FPSK dan Klinik Pakar Kesihatan USIM mempunyai perkhidmatan berkala klinik pakar mata bergerak iaitu KLiP Mobile ke lokasi terpilih di seluruh Negeri Sembilan. Pesakit yang dikenalpasti mempunyai katarak melalui aktiviti saringan KLiP Mobile USIM akan dihantar ke Hospital Tampin untuk menjalani pembedahan katarak yang dilakukan oleh pakar oftalmologi USIM sendiri. Terdapat juga kes pesakit asnaf yang menggunakan sumbangan dari Tabung Tabarruq Klinik Pakar Kesihatan USIM untuk membiayai rawatan yang diterima”,ujarnya..

Bagi pihak penganjur utama Kem Katarak ini iaitu Jabatan Oftalmologi Kluster HTAN, mereka menyatakan bahawa ini merupakan kali ketiga program seumpama ini diadakan sejak bermula pada 2016. Mereka mengharapkan dapat menganjurkan setiap tahun kerana bagi membolehkan lebih ramai rakyat menerima manfaat perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan ini selari dengan slogan “Bridging The Gap, Towards Accessible Eye Care For All”.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032